AM > BERITA

PM Anwar Bawa Mandat Malaysia Di Riyadh, Hentikan Kekejaman Israel Di Palestin

04/11/2024 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima jemputan daripada Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud bagi menyertai Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam pada 11 Nov ini, untuk membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.

Anwar berkata kehadiran beliau ke sidang kemuncak tergempar di Riyadh itu bagi membawa mandat Dewan Rakyat, iaitu untuk mengambil tindakan bagi menghentikan kekejaman berterusan Israel ke atas rakyat Palestin.

Beliau berkata Malaysia juga akan membawa isu pencerobohan dan pemusnahan pusat-pusat ibadah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT); serangan terbuka ke atas wilayah-wilayah di Lubnan serta Iran, termasuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar.

“Selain itu persidangan ini juga akan membincangkan permasalahan semasa dihadapi oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East - UNRWA), berikutan keputusan rejim Israel mengharamkan operasi pertubuhan bantuan kemanusiaan tersebut pada 28 Okt baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan mengenai isu Palestin di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata pada sidang kemuncak itu, Malaysia juga akan mengusulkan agar sokongan sepenuhnya diberikan kepada UNRWA dalam melaksanakan mandatnya bagi memberi perkhidmatan sosial dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Beliau berkata Malaysia berhasrat menggunakan sidang kemuncak itu untuk meraih sokongan negara-negara Arab dan Islam terhadap inisiatif tersebut dan menghalang pelaksanaan keputusan Parlimen Israel (Knesset) pada 28 Okt lepas, yang bertujuan melenyapkan UNRWA dan memburukkan situasi kemanusiaan di utara Gaza yang mengalami kebuluran setelah terputus bantuan asas sejak sekian lama.

“Salah satu pendekatan boleh diambil adalah bagi Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam memberi sokongan kepada usaha mediasi gencatan senjata oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar kerana sejak Mei lepas, ketiga-tiga negara ini telah membangunkan satu kerangka perjanjian yang perlu dipersetujui oleh semua pihak terlibat.

“Kegusaran kita adalah kerana tindakan kejam Israel itu tidak mungkin berlaku tanpa dukungan negara-negara yang membekalkan senjata terus-menerus kepada Israel termasuk Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah,” katanya.

Anwar berkata penting bagi Malaysia dan komuniti antarabangsa mengutuk jenayah genosid di Palestin dan memberi tekanan ke atas Israel untuk melaksanakan gencatan senjata dengan segera bagi membolehkan bantuan ubat, makanan dan keperluan kemanusiaan lain dihulurkan kepada rakyat Palestin, selain untuk menggerakkan Special Committee against Apartheid di PBB ke atas Israel.

Beliau berkata penyertaan Malaysia sebagai ahli Perikatan Global juga sebahagian usaha untuk meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Israel bagi melaksanakan gencatan senjata kekal di Gaza, menggesa pembebasan tahanan Palestin, berundur daripada wilayah yang dijajah dan menangani penderitaan rakyat Palestin menerusi penyambungan segera bantuan kemanusiaan.

“Kita juga akan membincangkan pelan tindakan dan mengenal pasti langkah-langkah konkrit ke arah mencapai kemerdekaan mutlak Palestin dalam tempoh garis masa yang munasabah.

“Sebagai sebuah negara yang mendukung prinsip keadilan dan perundangan antarabangsa, Malaysia terus komited dalam memperjuangkan hak Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka serta penyelesaian yang adil dan muktamad,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan