AM > BERITA

Isu Mimpi Bertemu Rasulullah: Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Akan Beri Pencerahan

04/11/2024 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Datuk Dr Nooh Gadut telah diminta untuk memberikan penjelasan dan pencerahan kepada masyarakat berkaitan isu mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata dalam masa sama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu terbabit dalam masa terdekat.

“Pihak JAKIM akan mengeluarkan kenyataan. Saya telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah untuk memberikan penjelasan dan pencerahan kepada masyarakat berkaitan dengan isu mimpi Rasulullah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah MADANI Ulama dan Umara (JMUU) Peringkat Zon Tengah (Wilayah Persekutuan dan Selangor) 2024 hari ini.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial video seorang pemimpin politik mendakwa bermimpi bertemu Rasulullah di kawasan Parlimennya di Pantai Timur.

Sementara itu, mengulas kekecewaan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mengenai kemudahan kepada golongan itu di masjid yang masih kurang memuaskan, Mohd Na’im berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan berusaha memastikan masjid-masjid di bawah pentadbirannya dilengkapi dengan kemudahan untuk memudahkan urusan ibadah bagi semua pihak termasuk OKU.

“Kita nak pastikan masjid-masjid ini dimiliki dan dihadiri oleh bukan sahaja mereka yang sempurna fizikal, tetapi kita juga ingin menggalakkan OKU sama ada pendengaran, penglihatan, fizikal untuk mereka sama-sama datang mengimarahkan masjid.

“Jadi, apa sahaja usaha untuk membantu memudahkan urusan mereka untuk beribadat di masjid kita akan lihat dan cari jalan,” katanya.

Mohd Na'im berkata beliau sendiri akan berjumpa dengan individu berkenaan untuk mendapatkan idea dan pandangan berhubung penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk golongan OKU di masjid.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Na’im berkata peningkatan peruntukan keseluruhan Belanjawan MADANI 2025 terhadap pengurusan hal ehwal Islam merupakan bukti kerajaan MADANI amat komited untuk memperkasakan syiar Islam di negara ini.

Beliau berkata ia sekali gus menangkis naratif Islam terancam seperti yang didakwa segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan