AM > BERITA

Ahli Parlimen Cadang Laporan Kewangan, Pelaburan GLC Dan GLIC Dibentang Di Parlimen

04/11/2024 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Ahli Parlimen hari ini mencadangkan rasionalisasi badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dilaksanakan dengan tegas dan sistematik.

Ini termasuk penekanan terhadap tatakelola yang baik serta keperluan untuk membentangkan laporan kewangan atau pelaburan berkepentingan awam di Parlimen.

Merujuk kepada isu kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) baru-baru ini, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan isu pengurusan dan tatakelola dalam badan berkanun, GLC dan GLIC yang perlu ditangani segera.

Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) pada perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang  Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat berkata isu yang terpalit melibatkan badan berkanun atau agensi kerajaan, GLC dan GLIC bukan sahaja melibatkan kerugian wang rakyat malah soal tatakelola dan akauntabiliti dalam pengurusan agensi terbabit.

“Segala pelaburan berkepentingan ataupun penyata kewangan setiap GLC, GLIC utama haruslah dibentangkan dan dibincangkan di Parlimen terutamanya di Jawatankuasa Khas Parlimen Kewangan.

“Jika boleh, kita wujudkan satu Jawatankuasa Parlimen Khas Untuk Reformasi GLC dan GLIC…perlu ada langkah-langkah perlindungan dan proses pemantauan yang rapi. Seperti yang saya kata, untung rugi itu sebahagian daripada pelaburan tapi ia boleh dikawal dan pembaziran dapat dielakkan kerana ini duit rakyat,” katanya.

Justeru beliau berkata langkah rasionalisasi badan berkanun dan GLC di Malaysia dilihat membuka peluang untuk meningkatkan kecekapan, akauntabiliti dan penyampaian perkhidmatan dalam sektor awam.

Sementara itu, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) meminta kerajaan memperhalusi proses tatakelola dalam kelulusan sesuatu pelaburan melibatkan GLIC memandangkan ia melibatkan penggunaan dana awam. 

“Isu pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet yang mengalami kerugian hampir RM43.9 juta, ini satu jumlah yang amat besar dalam konteks dana amanah yang (selepas mengalami kerugian) hanya minta maaf dan letak jawatan, selesai. 

“Ini tatakelola yang perlu diperhalusi oleh kerajaan kerana…(perkara mengenai) tatakelola disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) semasa pembentangan bajet sebelum ini,” katanya.

Isu tatakelola juga dibangkitkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang turut menggesa kerajaan memastikan wang rakyat dibelanja dengan baik serta bertanggungjawab dan bukan secara semberono.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan