AM > BERITA

KPKM Pertimbang Wujudkan IADA Selatan

04/11/2024 08:04 PM

JASIN, 4 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempertimbangkan penubuhan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Selatan untuk membantu pesawah di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata menerusi penubuhan IADA Selatan itu, pengurusan air dan penanaman padi di ketiga-ketiga negeri berkenaan akan lebih terurus.

"Pesawah di sini rata-ratanya masih bergantung pada sumber hujan kerana infrastruktur pengairan di sini belum sempurna malah kawasan ini juga tiada IADA khusus untuk membantu pesawah kerana berada di luar jelapang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI MR326 yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sini hari ini.

Mohamad berkata KPKM sedang berusaha untuk mendapatkan dana tambahan daripada kerajaan bagi memperbaiki saliran pertanian di kawasan luar jelapang, sebagai persediaan negara menghadapi ancaman perubahan cuaca yang semakin ketara.

Pada masa sama, beliau berkata beberapa perbincangan telah diadakan dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk membuka jelapang padi baharu di kedua-dua negeri itu.

"Alhamdulillah, kerajaan Sarawak dalam Belanjawan Sarawak 2025 akan memperuntukkan RM500 juta bagi memperbaiki infrastruktur sawah di negeri itu.

"Semua usaha ini dilakukan adalah untuk mencukupkan keperluan beras negara pada masa akan datang," katanya.

Varieti MR326 yang diberi nama Kesidang merupakan varieti padi baharu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) diperkenalkan untuk meningkatkan hasil dan alternatif kepada varieti sedia ada terutamanya di kawasan luar jelapang. 

MR326 dihasilkan melalui kacukan induk SPD175 dan MR255, dan dikategorikan sebagai pokok yang sederhana tinggi, tegak serta daun pengasuh sederhana panjang dengan tempoh masa matang adalah sekitar 118 hingga 120 hari lepas tabur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan