AM > BERITA

KKR Aktifkan Bilik Gerakan Bencana Hadapi MTL - Nanta

05/11/2024 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Bilik Gerakan Bencana Kementerian Kerja Raya (KKR) diaktifkan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) bermula 5 Nov 2024 hingga Mac 2025, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata melalui  Bilik Gerakan Bencana itu, KKR berupaya untuk membuat pemantauan banjir, seterusnya mengatur gerak pasukan di peringkat daerah.

"Bilik Gerakan Bencana atau Big Ben lengkap dengan sistem dan alat-alat bantu kita untuk memantau banjir, seterusnya menggerakkan pasukan di peringkat daerah dan sebagainya. Kita dah ada sistem itu, sekarang kita dah gerakkan," katanya.

Nanta berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Jalan Se-Malaysia kali ke-12 dan Kongres Jalan Asia Pasifik, Persekutuan Jalan Sedunia kali kelima di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan MTL atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 5 Nov dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Dalam tempoh berkenaan, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Bagaimanapun, Mohd Hisham berkata sekiranya kejadian monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan