AM > BERITA

Tujuh Modul Dibangunkan Untuk Pulih Akidah Pengikut GISBH - Mohd Na’im

05/11/2024 04:09 PM

CYBERJAYA, 5 Nov (Bernama) -- Sebanyak tujuh modul silibus bagi pemulihan akidah pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sedang dibangunkan oleh jawatankuasa khas yang kini berada di peringkat akhir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata modul berkenaan adalah akidah dewasa, akidah kanak-kanak, rohani dan jati diri, Pendidikan Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pembangunan remaja, kepimpinan umat insaniah serta modul psikospiritual.

“Jawatankuasa khas (pemulihan akidah pengikut GISBH) yang saya bentuk ini sudah beberapa kali bersidang, mereka telah sampai peringkat akhir.

“Insya-Allah nanti sampai masa, saya akan adakan satu sidang khas untuk memaklumkan tentang silibus baharu ini,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Zakat Melestari Ekonomi MADANI’ di sini hari ini.

Baru-baru ini, Mohd Na’im dilaporkan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan  jawatankuasa khas pemulihan akidah pengikut GISBH sedang giat membangunkan silibus bersesuaian untuk pengikut kumpulan GISBH termasuk kanak-kanak.

Terdahulu, Mohd Na’im ketika berucap merasmikan majlis itu menyatakan beliau mahu semua majlis agama Islam negeri menggunakan kreativiti masing-masing bagi menggalakkan lebih ramai umat Islam menunaikan rukun Islam keempat itu.

“Kita perlu memanfaatkan akal fikiran dan teknologi baharu untuk cipta satu platform bagi menarik lebih ramai umat Islam berzakat,” katanya.

Mengenai sambutan majlis itu, beliau berkata ia menjadi platform bagi memberikan maklumat dan pemahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan zakat sebagai kewajipan agama.

“Zakat juga dapat mengurangkan kemiskinan dan menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan saya secara peribadi melihat tema sambutan kali ini cukup signifikan dengan memgambil kira cabaran ekonomi dunia masa kini,” katanya.

Beliau menegaskan zakat merupakan instrumen penting dalam merapatkan kesenjangan antara golongan kaya dan miskin serta menjadi penyelesaian kepada masalah sosial dan mengurangkan beban ekonomi bagi golongan memerlukan.

“Peranan zakat dalam melestarikan ekonomi sememangnya tidak dapat dinafikan kerana zakat merupakan instrumen pemberdayaan ekonomi yang turut mencipta peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan