BERITA TERGEMPAR | PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | |
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Penglibatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam kelestarian memerlukan tindakan bersama untuk menggerakkan sektor korporat secara keseluruhan, melalui dasar dan peraturan yang mengutamakan ketelusan, akauntabiliti dan tindakan, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia dan impak kolektif daripada ribuan perusahaan ini untuk mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG), dapat memberi perubahan yang besar, mendorong perubahan positif di seluruh negara.
“Perkara ini boleh mencipta gelombang perubahan di setiap sudut masyarakat kita, oleh itu penglibatan PKS dalam kelestarian bukan sahaja bermanfaat, ia satu perkara yang sangat penting. Inilah cara kita sebagai sebuah negara, akan bergerak maju dan bagaimana kita akan memastikan bahawa kemajuan kita adalah adil, inklusif dan berterusan.
“... Perundangan sahaja tidak mencukupi. Transformasi sebenar memerlukan perubahan budaya. Perubahan yang melangkaui rangka kerja peraturan dan merangkul kuasa rakyat. Ia perubahan yang memerlukan kita mewujudkan persekitaran yang melibatkan pihak berkepentingan, pekerja, pembekal, pelabur, pelanggan, yang setiap satunya memainkan peranan dalam memacu impak positif,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium GO ESG 2024 di sini hari ini.
Beliau juga mengulangi seruannya supaya tindakan segera terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang telah beliau nyatakan dalam ucapannya di acara GO ESG tahun lepas, kerana di peringkat global hanya 16 peratus daripada sasaran SDG berada pada landasan tepat untuk dicapai menjelang 2030, manakala 84 peratus lagi menunjukkan hanya sedikit atau tiada kemajuan.
“Angka-angka ini lebih daripada sekadar statistik. Ia menggariskan cabaran besar yang masih akan kita hadapi, krisis kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim dan keamanan, yang terus menuntut perhatian penuh kita dengan tenaga tanpa henti dan komitmen yang tidak berbelah-bahagi,” katanya.
Simposium Go ESG edisi kelima anjuran UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), menggariskan peranan penting dimainkan pembelajaran dan pembangunan, dalam melengkapkan tenaga kerja untuk memenuhi tuntutan kelestarian hari ini untuk memacu perubahan yang bermakna.
Bertemakan 'Memperkasa Bakat dalam Mencapai SDG', program itu menarik lebih 300 eksekutif peringkat tinggi, pengamal kelestarian dan pemimpin perniagaan.
Menangani jurang bakat kemampanan adalah tanggungjawab kolektif, simposium itu memupuk perbincangan dan kerjasama, menawarkan strategi yang boleh diguna pakai untuk membina kecekapan dalam tenaga kerja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial