AM > BERITA

KPM Ambil Langkah Proaktif Capai Aspirasi PPPM 2013-2025

08/11/2024 10:29 AM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah proaktif untuk membantu mempercepat pencapaian aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas berkata enam petugas khas (task force) telah ditubuhkan bawah reformasi pendidikan yang berperanan sebagai pemacu kepada agenda memperkasa pendidikan negara.

“Kita sedia maklum pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada sistem pendidikan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

“Jadi sebagai langkah proaktif, kita telah wujudkan enam task force yang memberi tumpuan kepada kurikulum, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), digital, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), prasekolah serta bahasa bagi Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel program Business Finance Malaysia (BFM) CEO Forum Berhubung Reformasi Pendidikan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas mengenai tumpuan utama KPM, Zainal berkata langkah proaktif yang diambil bukan sahaja untuk menggerakkan PPPM, tetapi turut melihat kepada keperluan ekosistem pendidikan sedia ada.

“Pada ketika ini, kita berada pada kadar 50.83 peratus bagi dasar 60:40, justeru, usaha berterusan sentiasa dilaksanakan bagi menggalakkan lebih ramai murid terlibat dalam bidang STEM melalui pelaksanaan pelbagai program.

“Antara program yang dilaksanakan adalah Program Duta Guru dengan kerjasama Yayasan Petronas yang bertujuan untuk membantu mempertingkatkan tahap kompetensi guru dalam bidang STEM. Mereka didedahkan dengan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dengan pelaksanaan aktiviti hands on dan secara tidak langsung dapat menarik minat murid untuk mengikuti program berasaskan STEM,” katanya.

Bagi bidang digital pula, Zainal berkata Dasar Pendidikan Digital (DPD) telah diperkenal dan melalui task force digital, KPM akan memastikan dasar ini sampai sehingga ke peringkat sekolah, diterima serta diguna pakai oleh para guru.

“Sebanyak lebih RM40 juta telah dilaburkan pada tahun lepas bagi membina hab digital di Pusat Kegiatan Guru yang bertujuan untuk memperkasa bidang digital dan meningkatkan kompetensi guru serta mencapai aspirasi DPD itu sendiri.

“Inisiatif ini memberi peluang kepada guru untuk menggunakan fasiliti tersebut di samping memberi ruang kepada murid menggunakan kaedah digital dalam pembelajaran mereka.” katanya.

Selain itu, KPM berhasrat untuk memperluas prasekolah. Tanggungjawab task force prasekolah adalah untuk melihat penyelarasan antara pelbagai agensi yang melaksanakan program prasekolah dan memastikan kurikulum yang digunakan adalah kurikulum yang standard supaya murid dapat mencapai tahap penguasaan yang dihasratkan.

“Berdasarkan ujian Intervensi Literasi dan Numerasi yang dilaksanakan untuk melihat tahap penguasaan murid, didapati kebanyakkan murid yang tidak menguasai tahap minimum literasi dan numerasi ini adalah mereka yang tidak mengikuti pendidikan di peringkat prasekolah.

“Justeru, KPM telah mengambil inisiatif memperluas prasekolah bukan sahaja di sekolah rendah tetapi juga di sekolah menengah. Kita turut membuka kelas prasekolah di Institut Pendidikan Guru dan Kolej Vokasional supaya murid di kawasan sekitar turut mendapat akses kepada pendidikan awal kanak-kanak.” katanya.

Pendidikan prasekolah merupakan proses yang penting sebelum murid melangkah masuk ke pendidikan arus perdana. Sehubungan itu, melalui penyediaan akses kepada pendidikan prasekolah, kualiti murid yang memasuki Tahun 1 dapat dipertingkat dan mencapai standard yang diperlukan.

Dalam pada itu, Zainal berkata bagi menggalakkan lebih ramai murid untuk menceburkan diri dalam bidang TVET, KPM melihat kepada kepelbagaian kursus yang ditawarkan bagi memenuhi keperluan industri.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga telah mengadakan pertemuan bersama-sama pihak industri bagi memahami dengan lebih mendalam apa yang diperlukan dan bagaimana sistem pendidikan di Malaysia mampu menampung keperluan di pihak industri.

Zainal berkata program libat urus yang diadakan bersama-sama pihak berkepentingan seperti hari ini sangat penting bagi menerangkan hala tuju KPM dan mendapatkan maklum balas bagi memastikan KPM berada pada landasan yang betul.

“Program anjuran BFM hari ini bertujuan untuk menerangkan tentang reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan KPM untuk mencapai objektif PPPM dengan penglibatan pihak berkepentingan termasuk badan swasta yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan program pendidikan di pelbagai peringkat.” katanya.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan