AM > BERITA

Bekas KPPA Tan Sri Zainal Rahim Seman Dilantik Pengerusi Majlis Penasihat NAFAS

08/11/2024 10:14 AM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (bernama) -- Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Zainal Rahim Seman hari ini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Watikah pelantikan beliau telah disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu majlis di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini.

LPP dalam satu kenyataan berkata watikah pelantikan turut diberikan kepada tiga orang lagi yang turut menganggotai majlis penasihat itu dan lima orang pentadbir.

Dalam pada itu, Mohamad menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Zainal yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia untuk membantu LPP melakukan reformasi dan tatakelola di NAFAS.

“NAFAS akan terus beroperasi seperti biasa. Semua urusan perniagaan, perkhidmatan dan kakitangan NAFAS kini adalah di bawah arahan pentadbir dengan dikawal selia oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah LPP Amir Matamin selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang telah membuat satu perintah penggantungan NAFAS berkuat kuasa pada 1 November lepas di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109). 

Mengikut kenyataan itu lagi, semasa tempoh penggantungan, NAFAS akan diurus oleh pentadbir yang dilantik Pendaftar Pertubuhan Peladang manakala Majlis Penasihat NAFAS berfungsi menasihati pendaftar dalam membuat keputusan sekiranya wujud perkara-perkara yang dirujuk oleh pentadbir kepada pendaftar berhubung masalah harian.

LPP memaklumkan langkah berkenaan bagi memastikan fungsi NAFAS berjalan dengan cekap tanpa gangguan.

“Dari segi operasi perniagaan dan perkhidmatan, agar segala pemulihan NAFAS dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur demi kepentingan 605,552 ahli peladang di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan