AM > BERITA

Siswazah UniMAP Diharap Serlah Kepakaran, Promosi Pencapaian Universiti

09/11/2024 04:52 PM

ARAU, 9 Nov (Bernama) -- Siswazah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta penerima Ijazah Kehormat dan Anugerah Khas diharapkan dapat menyerlahkan kepakaran serta pencapaian dalam pelbagai bidang, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah siswazah UniMAP juga diharap dapat mempromosikan program dan pencapaian universiti ini dalam kalangan golongan profesional untuk meningkatkan prestij UniMAP. 

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berharap mereka memperkasakan rangkaian alumni dengan menjadi pemudah cara dalam hubungan antara UniMAP dan rangkaian industri sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan latihan amali, khususnya kepada pelajar tahun akhir.

"(Seterusnya harapan Raja Muda Perlis supaya mereka dapat) menyumbang secara kewangan atau melalui sumber yang menyokong biasiswa, penyelidikan atau pembangunan kampus serta berada dalam jawatankuasa penasihat yang menjurus kepada nasihat dasar dan program universiti supaya sentiasa terkini mengikut landasan dan keperluan pasaran pekerjaan," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor UniMAP bertitah demikian sempena sidang satu Istiadat Konvokesyen UniMAP Ke-19 di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.

Pada sidang itu, Raja Muda Perlis berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan (HON.D.ENG) kepada Cheah Hun Wah dan Anugerah Khas Penerima Gelaran Profesor Emeritus kepada Prof Datuk Dr Dr Ali Yeon Md Shakaff.

Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Arif Haikal Mohd Zaki iaitu siswazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Pemesinan) dengan Kepujian dan siswazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mikroelektronik dengan kepujian Goh Juin Ping.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah UniMAP juga mengalu-alukan penerima Ijazah Kehormat dan Anugerah Khas itu untuk sentiasa kembali ke kampus berkongsi ilmu kepakaran, pengalaman dan memberikan pandangan masing-masing melalui bengkel atau kuliah sekali gus memperkaya pengalaman akademik dan laluan kerjaya pelajar.

Selain itu, Raja Muda Perlis bertitah turut mengharapkan pencapaian siswazah UniMAP yang membanggakan itu menjadi titik tolak dalam kehidupan masing-masing untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Semoga anda semua terus maju jaya dalam apa sahaja bidang yang diceburi. Tahniah kepada ibu bapa, penjaga, isteri atau suami dan anak-anak yang sentiasa mendoakan yang terbaik, sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan ahli keluarga tersayang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menzahirkan penghargaan kepada warga pendidik UniMAP yang telah memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan modal insan yang mempunyai integriti, jati diri serta sifat kepimpinan yang tinggi.

 Seramai 3,298 graduan UniMAP akan menerima ijazah masing-masing pada istiadat konvokesyen itu yang berlangsung hari ini hingga 12 Nov.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan