KOTA KINABALU, 9 Nov (Bernama) -- Beberapa daerah di timur Sabah yang mengalami gangguan bekalan elektrik bermula tengah hari tadi disebabkan talian sambung tara Kolopis-Segaliud di Ranau terpelantik akibat Transient Fault.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd Mohd Yaakob Jaafar berkata gangguan bekalan berlaku pada talian nombor 1 sambung tara 275kV Kolopis-Segaliud ketika Sabah Electricity sedang melaksanakan pemulihan fasa akhir pemindahan pengalir daripada menara sementara Emergency Restoration System (ERS) ke menara kekal yang baharu disiapkan bagi talian nombor 2.
"Ketika kejadian, hanya talian nombor 1 sambung tara terbabit sahaja yang membekalkan 138MW tenaga elektrik ke timur Sabah.
"Kerja-kerja siasatan untuk mengenal pasti punca talian itu terpelantik sedang giat dijalankan pasukan teknikal Sabah Electricity dan pemeriksaan di tapak akan disambung pada esok kerana keadaan cuaca buruk serta hujan lebat yang menghalang laluan akses masuk di sepanjang talian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagaimanapun bekalan elektrik ke daerah terlibat gangguan iaitu Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna serta Tawau berjaya dipulihkan sepenuhnya pada 5.24 petang tadi.
"Pemulihan bekalan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 2.03 petang dan Sabah Electricity menghargai kesabaran dan keprihatinan serta memohon maaf kepada semua pengguna di pantai timur Sabah yang terjejas," katanya.
Sejak Mac lepas, Sabah Electricity mempercepat pelaksanaan kerja-kerja penggantian dua menara 275kV pada talian sambung tara Kolopis-Segaliud di daerah Ranau yang telah rosak akibat pergerakan tanah mendap sebagai usaha memastikan kelangsungan bekalan elektrik ke timur Sabah tidak terjejas.
Usaha mempercepat kerja-kerja penggantian itu dapat dilakukan dengan bantuan daripada kerajaan negeri bersama Tenaga Nasional Berhad sertaTentera Udara Diraja Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial