AM > BERITA

Malaysia Sambut Hari Burung Enggang Kebangsaan Pertama

10/11/2024 02:08 PM

SHAH ALAM, 10 Nov (Bernama) -- Sambutan Hari Burung Enggang Kebangsaan hari ini membuktikan komitmen Malaysia untuk memelihara warisan burung yang unik dan memperkukuh usaha ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad (NRES) berkata sambutan itu selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) yang bertujuan menjadikan negara ini ‘hidup dalam harmoni dengan alam semula jadi menjelang 2050’.

Beliau berkata dasar itu bertujuan memastikan biodiversiti berkembang seiring dengan pembangunan lestari,  sambil memenuhi tanggungjawab Malaysia di bawah perjanjian antarabangsa seperti Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD).

“Hari Burung Enggang Kebangsaan ini merupakan satu lagi langkah ke arah merealisasikan visi itu, sambil memupuk kesedaran orang ramai dan menggalakkan penyertaan aktif dalam memulihara spesies dan habitat penting kepada warisan semula jadi kita.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memulihara burung ikonik kita burung enggang dan kita hanya perlu mencari peranan kita dalam usaha hebat ini,” katanya pada majlis pelancaran Hari Burung Enggang di Elmina Sales Gallery di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata tarikh 10 Nov setiap tahun ditetapkan sebagai sambutan Hari Burung Enggang Kebangsaan dan diharap menjadi sambutan sedunia pada masa akan datang.

Yayasan Sime Darby (YSD) dan kumpulan alam sekitar Gaia, dengan sokongan NRES dan pelbagai agensi kerajaan melancarkan sambutan berkenaan, telah menyatukan pihak berkepentingan dalam matlamat bersama untuk melindungi burung enggang dan habitatnya.

Sempena sambutan itu, Nik Nazmi berkata satu kerjasama antara Gaia dan Pos Malaysia telah dijalankan bagi menghasilkan pengeluaran setem peringatan yang menampilkan kesemua 10 spesies burung enggang di Malaysia.

Pelbagai program diadakan hari ini termasuk perbincangan diketuai pakar dan pameran fotografi burung enggang Malaysia yang dikendalikan oleh jurugambar hidupan liar terkenal Sanjitpaal Singh.

Sementara itu, pengerusi YSD Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar dalam video ucapannya berkata penganjuran Hari Burung Enggang Kebangsaan menekankankomitmen jangka panjang Malaysia terhadap perlindungan hidupan liar.

“Inisiatif ini membawa usaha pemuliharaan global kepada tumpuan kebangsaan, diperluaskan hingga perincian pemeliharaan habitat,” katanya.

Sejak tiga tahun, YSD dan Gaia telah memajukan program pemuliharaan burung enggang yang komprehensif, disokong oleh komuniti tempatan dan agensi negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan