KUANTAN, 10 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pahang mengambil inisiatif menambah 2,000 lagi tempat untuk peserta program MyLesen membabitkan peruntukan RM720,000, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Razali Kassim.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan sebelum ini memperuntukkan RM1.03 juta bagi program berkenaan di negeri ini, yang menawarkan lesen memandu secara percuma kepada 2,590 individu dengan 2,500 daripadanya motosikal kelas B2 dan selebihnya Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) untuk e-panggilan dan bas serta Lesen Memandu Barangan (GDL) untuk lori.
“Peruntukan tambahan yang disediakan pada tahun ini merupakan inisiatif di peringkat negeri dan jumlahnya bergantung kepada kemampuan kerajaan Pahang.
“Kita ada memohon agar program ini dilanjutkan pada 2025 tetapi ia bergantung kepada belanjawan kerajaan negeri yang akan dibentangkan kelak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program MyLesen Peringkat Pahang 2024 di sini hari ini.
Program yang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ini, merupakan usaha mengurangkan beban golongan B40 dan belia kurang berkemampuan memperoleh lesen memandu dengan peruntukan RM15 juta untuk manfaat lebih 36,000 individu di seluruh negara.
Razali berkata penambahan kuota peserta MyLesen oleh kerajaan negeri itu, dijangka bermula awal tahun depan berikutan program yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan masih lagi berjalan sehingga akhir tahun ini.
“Terima kasih kepada 16 institut memandu di Pahang yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini, manakala calon yang layak perlu melalui tapisan dan semestinya golongan B40 menjadi keutamaan.
“Program ini dilihat memberi banyak kesan positif kepada masyarakat kerana ia bukan sahaja untuk kegunaan peribadi, bahkan bagi tujuan mendapatkan pekerjaan, menjalankan perniagaan dan ada yang menjadi pemandu bas serta teksi, sekali gus usaha ini menyumbang peningkatan ekonomi mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial