AM > BERITA

Malaysia Hargai Usaha Mesir Sokong Negara Sebagai Rakan BRICS

10/11/2024 10:24 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama dalam BRICS, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya (Heliopolis) di Kaherah, Mesir, hari ini berkata selain BRICS, pertemuan beliau dengan Abdel Fattah turut menyentuh pelbagai perkara dalam usaha memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara.

“Hubungan ini meliputi soal kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan, minyak sawit, industri halal, pendidikan, pelancongan, kesihatan serta sumber asli dan tenaga boleh baharu. 

“Perbincangan kami turut menyentuh soal BRICS dan Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama,” kata beliau dalam hantaran di laman X hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan kini dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari ke Mesir.

Pada 24 Okt lepas, Malaysia diiktiraf sebagai rakan BRICS berserta 12 negara lain iaitu Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS semasa perbincangan dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pada 18 Jun tahun ini.

BRICS, asalnya merangkumi Brazil, Rusia, India dan China ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun.

Afrika Selatan menyertainya pada 2010. Blok itu kemudiannya berkembang dengan meliputi Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.

BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul US$26.6 trilion atau 26.2 peratus kepada KDNK dunia, hampir menyamai kekukuhan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan