AM > BERITA

PM Anwar Harap Sidang Kemuncak Arab-Islam Capai Kata Sepakat Berkaitan Isu Gaza

10/11/2024 11:58 PM

KAHERAH, 10 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Sidang Kemuncak Arab-Islam yang dijadual berlangsung esok di Riyadh, Arab Saudi akan dapat mencapai kata sepakat sesama negara Islam bagi menyelesaikan konflik di Gaza, Palestin.

Anwar dalam syarahan umum di Universiti Al-Azhar di sini pada Ahad juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Mesir, yang memudahkan Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Esok kita adakan mesyuarat tergempar negara Islam dan Arab di Riyadh. Jadi saya dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi akan ke Riyadh (untuk hadir bagi) bincang perkembangan terakhir Gaza dan Palestin.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden dan kerajaan Mesir kerana bantuan mereka yang luar biasa untuk memudahkan Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat yang tertindas dan dizalimi di Gaza.

“Dan (terima kasih) juga (kerana) mengirim dua pesawat tentera ke Rafah untuk mengambil pesakit-pesakit Palestin (untuk) diletakkan di hospital tentera di Malaysia,” katanya yang berada di Mesir untuk lawatan rasmi empat hari sejak Sabtu.

--BERNAMA

Pada 1 Nov, Anwar mengesahkan beliau telah menerima undangan daripada Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bagi menghadiri persidangan khas di Riyadh.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia juga baru-baru ini mengambil langkah menyampaikan pandangan kepada rakan-rakan negara Arab untuk mendesak supaya Israel disingkir daripada menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berikutan kekejaman rejim berkenaan.

Beliau berkata ini kerana pertama kali dalam sejarah moden, kebiadaban kemanusiaan berlaku keterlaluan tanpa kawalan dilakukan oleh rejim Israel.

“Rejim Israel seolah-olah mahu melenyapkan rakyat Palestin dari bumi Gaza dan melakukan apa yang disebut genosid. Belum ada dalam sejarah manusia ketika ini, satu negara boleh melanggar semua peraturan dan undang-undang, membunuh anak-anak dan wanita, melakukan kekejaman dengan merampas tanah, menakluki sebagai penjajah.

“Maka sebab itu Malaysia telah cuba menyampaikan pandangan kepada rakan-rakan kita di negara Arab dan Islam, dengan membangun yang disebut sebagai Global South atau Pakatan Negara Selatan untuk mendesak supaya Israel disingkir sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan