KAHERAH, 10 Nov (Bernama) -- Anak-anak muda Islam perlu diperlengkapkan dengan ilmu keagamaan, termasuk al-Quran, selain ilmu dalam bidang teknologi, supaya mereka dapat mengintegrasikan nilai-nilai Islam dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pelajar Islam di Malaysia diwajibkan untuk membaca 40 hadis Arbain Imam Nawawi bersama terjemahan, yang merupakan kali pertama dalam sejarah.
“Kita akan memulakan dengan menyiapkan buku-buku terjemahan, kemudian kita akan mengembalikan semula (apa yang) dibatalkan, termasuk bantuan kepada sekolah-sekolah agama. Bantuan kepada sekolah agama rakyat telah dibatalkan pada tahun 2003, tetapi setelah kami mengambil alih Kerajaan MADANI, kami telah mengembalikan semula bantuan kepada sekolah agama rakyat di seluruh negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Al-Azhar di sini pada Ahad.
Anwar, yang tiba di sini pada Sabtu untuk lawatan rasmi selama empat hari ke Mesir, berkata Kerajaan Malaysia juga telah bersetuju untuk menambah bantuan dan biasiswa kepada anak-anak Malaysia dalam bidang ilmu Islam, perubatan, dan kejuruteraan.
Selain itu, beliau berkata pelajar dari Maahad Tahfiz juga disalurkan ke bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya, selain menguasai bahasa Arab dan al-Quran, mereka dapat memperoleh kemahiran dalam teknologi seperti kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI), dan sebagainya. Malah, ada di antara mereka yang berjaya menjadi juruterbang.
“Ini adalah antara program yang sedang dilaksanakan di Malaysia. Bidang-bidang yang saya sebutkan ini luas dan besar,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi perbincangan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, bagi meningkatkan hubungan strategik Malaysia dan Mesir ke tahap yang lebih tinggi, Anwar berkata kerjasama telah dimulakan, melibatkan Petronas dalam penyaluran gas di Mesir, serta pengeluaran Proton yang dijangka akan dilaksanakan di Mesir sebelum akhir tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial