Daripada Nashir Mansor
KAHERAH, 10 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam yang dijadual berlangsung esok.
Pesawat khas yang membawa Anwar berlepas pada pukul 7.17 malam Ahad dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.
“Insya-Allah esok, saya akan membawa suara dan mandat rakyat Malaysia semasa Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ke atas warga Palestin dan Lubnan,” katanya dalam kenyataan ringkas sebelum berlepas.
Menurut Anwar, setelah selesai sidang itu, beliau akan kembali ke Kaherah untuk meneruskan beberapa program yang telah dijadualkan bersama delegasi Malaysia dan Mesir.
Terdahulu, Anwar sempat meluangkan masa mengadakan kunjungan singkat ke Wisma Seri Mutiara, bangunan asrama bagi anak-anak pelajar Pulau Pinang yang menuntut di Universiti Al-Azhar Al-Sharif.
“Alhamdulillah saya dapat menyantuni anak-anak yang belajar di sini dan menitipkan pesan kepada mereka agar menuntut ilmu dengan baik dan menjaga nama Malaysia,” katanya dalam kenyataan berasingan.
Ketika lawatan itu, Anwar turut menyaksikan penyerahan dana berjumlah RM780,000 oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kepada Wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah untuk proses penambahbaikan dan penyelenggaraan asrama lama Wisma Seri Pinang, yang terletak bersebelahan dengan bangunan baharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial