KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memuktamadkan cadangan penyelesaian bagi projek perkhidmatan 1BestariNet dan akan mengemukakan kepada Jemaah Menteri untuk menentukan hala tuju seterusnya.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata kerajaan komited untuk memastikan isu-isu lampau dapat diselesaikan.
“Tidak ada tindakan undang-undang sivil difailkan di mahkamah oleh kerajaan setakat ini. Komitmen daripada kerajaan MADANI adalah untuk pastikan isu lampau dapat diselesaikan dan kami serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai status terkini projek 1BestariNet dan tindakan undang-undang yang telah dikenakan terhadap syarikat yang diberikan tender berkenaan.
Wong berkata projek 1Bestarinet pada dasarnya ialah satu inisiatif kerajaan melalui KPM untuk menggantikan dan menambah baik sistem rangkaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah.
Inisiatif ini bertujuan sebagai suatu penambahbaikan kepada perkhidmatan SchoolNet yang telah tamat pada 12 Dis 2011 dengan menekankan aspek perkhidmatan rangkaian end-to-end dan Virtual Learning Environment (VLE).
Beliau berkata Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 23 Nov 2011 telah bersetuju menawarkan tender perkhidmatan 1BestariNet Fasa 1 kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTLC).
Wong berkata projek itu dilaksanakan bermula 13 Dis 2011 hingga 12 Jun 2014 bagi kontrak Fasa 1 serta 13 Jun 2014 hingga 30 Jun 2016 bagi Kontrak Fasa Interim dan seterusnya 1 Julai 2016 hingga 30 Jun 2019 untuk Kontrak Fasa 2 dengan 9,828 sekolah dibekalkan perkhidmatan 1BestariNet sepanjang tempoh projek.
Beliau berkata pihak YTLC juga telah mendirikan 2,748 struktur menara komunikasi di dalam premis sekolah untuk tujuan penyampaian Internet antaranya 1,143 struktur dibina di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan 1,605 struktur dibina di atas tapak premis sekolah bukan milik PTP.
“Perjanjian 1BestariNet Fasa 2 telah tamat pada 30 Jun 2019, namun terdapat isu yang belum selesai iaitu berkaitan kadar sewaan tapak dan caj elektrik untuk Menara 1BestariNet Receiver Integrated System (1BRIS) melibatkan 2,748 menara,” katanya.
Pada 2019, Wong berkata KPM merancang rundingan dengan syarikat mengenai kadar penyewaan tapak dan caj elektrik menara 1BestariNet, namun rundingan tertangguh kerana YTLC memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap kerajaan.
Rundingan katanya, kemudian diteruskan setelah syarikat menarik balik permohonan itu pada 5 Okt 2021 seperti disyaratkan oleh KPM.
Beliau berkata pada 17 Mac 2023, Nota Jemaah Menteri berkaitan Cadangan Penyelesaian Isu Sewaan Tapak dan Caj Elektrik Menara Komunikasi 1BRIS bagi Projek Perkhidmatan 1BestariNet Fasa 2 dan Pasca- 1BestariNet telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial