KUALA BERANG, 11 Nov (Bernama) -- Dua beranak maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 15, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, berhampiran Kampung Tengkawang, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata kejadian berlaku sekitar 7.45 pagi ketika mangsa, Saiful Azrin Awang, 42, dalam perjalanan menghantar anaknya, Muhammad Daim Irfanshah, 6, ke Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berdekatan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal telah melanggar bahagian tepi pintu sebelah kiri kereta Proton Saga yang datang dari arah bertentangan.
"Pemandu kereta yang bekerja sebagai doktor gigi hendak membelok masuk ke simpang kanan tempat kerjanya iaitu Klinik Kesihatan Tengkawang.
"Bagaimanapu, motosikal dinaiki mangsa yang datang dari arah Kampung Gaung, tiba-tiba melanggar bahagian tepi pintu sebelah kiri," katanya ketika dihubungi.
Zainul Mujahidin berkata Muhammad Daim Irfanshah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya yang patah tulang tengkorak dan pendarahan di paru-paru telah dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu.
Bagaimanapun, Saiful Azrin yang bekerja sebagai buruh tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia kira-kira 12 tengah hari tadi ketika sedang mendapatkan rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial