AM > BERITA

Rosnah Wartawan, Ahli Politik Hebat - Rakan

11/11/2024 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Allahyarhamah Rosnah Abd Majid yang meninggal dunia semalam adalah seorang wartawan hebat kerana telah memberi perkhidmatan terbaik sepanjang kariernya, kata bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang.

Beliau berharap agar legasi dan kehebatan Allahyarhamah sebagai wartawan dapat diteruskan oleh pengamal media yang ada sekarang. 

“Kami yang seangkatan berharap agar legasi arwah tidak dilupakan, terlalu banyak kelebihan dan kehebatan arwah di negara ini, antaranya pernah menjadi ahli politik dan Ketua Jawatankuasa Perhubungan Wanita UMNO Negeri Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate di sini, hari ini.

Bagi rakan seangkatan Rosnah yang juga bekas Penyunting Meja Sukan Utusan Malaysia Mustakim Aminuddin, beliau masih terngiang-ngiang suara serta gaya arwah, dan menyifatkannya arwah sebagai seorang yang sentiasa kehadapan dan tidak kedekut ilmu.

“Saya sertai Utusan Malaysia pada tahun 70an, ketika itu arwah masih baru dan tugasan pertamanya adalah perlu mengikut saya ke assignment. Saya banyak beri dia tunjuk ajar tapi arwah ini seorang yang cekap dan cepat adapt.

“Pada 1984, kami sama-sama terima anugerah oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) iaitu beliau terima Anugerah Kajai manakala saya terima anugerah dalam bidang penulisan sukan, yang mana saya pernah memegang jawatan dalam Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia,” katanya.

Sementara itu kakak Allahyarhamah, Mariam Abdul Majid menyifatkan adiknya itu sebagai seorang wanita yang hebat dan hubungan mereka berdua sangat akrab dengan sering ke mana-mana bersama.

Allahyarhamah Rosnah meninggal dunia pada usia 71 tahun di rumah seorang lagi kakaknya di Teluk Bahang, Pulau Pinang kira-kira 9.30 pagi semalam. 

Jenazah dimandikan dan dikafankan di Teluk Bahang sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Taman Melawati di sini malam tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate 10 pagi ini.

Allahyarhamah yang pernah bertugas di akhbar Utusan Malaysia selama 20 tahun sejak 1977 merupakan pemenang pertama Anugerah Kajai pada 1984, dan selain pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Tanjung Dawai dari 1999 hingga 2004, Allahyarhamah juga pernah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kedah untuk tempoh sama. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan