KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pelan Pengurusan Hidupan Liar (Wildlife Management Plan) telah dilaksanakan bagi mengurangkan impak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada khazanah biodiversiti negara, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata melalui pelan ini, langkah-langkah mitigasi diterapkan sepanjang jajaran ECRL, termasuk mewujudkan koridor ekologi untuk membolehkan hidupan liar bergerak dengan selamat dan mengurangkan fragmentasi habitat.
“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) telah memeterai perjanjian kerjasama dengan penggerak projek ECRL dalam pelaksanaan mitigasi hidupan liar. Perjanjian ini sah sehingga 2027 bagi memastikan kemampanan hidupan liar dan habitatnya,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Nik Nazmi menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkenaan impak projek ECRL terhadap biodiversiti di kawasan hutan simpan yang menyebabkan konflik antara hidupan liar dan manusia.
Beliau berkata langkah mitigasi lain termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sebelum projek dimulakan, pemantauan berterusan, kawalan konflik manusia dan hidupan liar melalui khidmat nasihat, serta pemasangan perangkap bagi spesies tertentu.
Menurutnya kajian konflik manusia dan gajah turut dilaksanakan melalui pemasangan kolar satelit pada kumpulan gajah untuk mengetahui pergerakan dan laluan gajah bagi menyediakan koridor hidupan liar yang sesuai.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata 80,375 aduan konflik manusia dan hidupan liar diterima bagi tempoh 2018 hingga tahun ini melibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM62.5 juta, dengan jumlah aduan dan anggaran kerugian mencatatkan peningkatan setiap tahun.
Beliau berkata sebanyak 7,925 aduan dilaporkan pada 2018, diikuti lebih 9,700 aduan (2019), 11,800 aduan (2020), 12,800 aduan (2021), 13,000 aduan (2022), 13,670 aduan (2023) dan 11,341 aduan setakat tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata kerajaan bersedia mempertimbangkan kewujudan pusat pelupusan kimia secara bersepadu sekiranya wujud peningkatan jumlah sisa yang tidak dapat ditampung oleh premis sedia ada.
Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) sama ada kerajaan telah mengkaji keperluan membangunkan pusat pelupusan kimia bersepadu dilengkapi kemudahan rawatan sisa buangan mesra alam di lokaliti terpilih bagi menangani pencemaran sungai dan laut akibat sisa buangan industri pada sesi soal jawab lisan.
Nik Nazmi berkata pada masa ini, setiap premis yang menguruskan sisa buangan mempunyai teknologi diluluskan Jabatan Alam Sekitar dan jabatan itu akan melaksanakan pemantauan berkala bagi memastikan operasi dijalankan dengan selamat serta mematuhi standard kualiti alam sekitar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial