KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Malaysia menyalurkan sumbangan dan bantuan kemanusiaan berjumlah RM45 juta untuk rakyat Palestin di Gaza sejak serangan besar-besaran Israel terhadap enklaf itu pada 7 Okt 2023 hingga kini, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.
Beliau berkata sumbangan berkenaan disalurkan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam Op Ehsan, agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan.
Mohamad berkata lebih 5,000 tan bantuan kemanusiaan dari Malaysia dihantar ke Gaza melalui sempadan Rafah dari Oktober 2023 yang memberi manfaat kepada jutaan penduduk Palestin.
"Situasi kini semakin mencabar setelah pintu sempadan Rafah ditutup sejak 7 Mei 2024 dan kini satu-satunya laluan bantuan yang masih beroperasi ialah melalui Jambatan Raja Hussein di Jordan.
"Oleh sebab itu, kita sedang memperkukuh kerjasama antara Malaysia dengan kerajaan Jordan … kita telah mendapat undangan dan bersetuju untuk turut serta dalam misi bantuan melalui jambatan ini dengan kerjasama kerajaan Jordan," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian semasa Malaysia serta bentuk bantuan kemanusiaan yang dihulurkan dan kos diperuntukkan bagi krisis kemanusiaan Gaza sejak serangan Israel pada 7 Okt 2023 hingga kini.
Selain bantuan untuk rakyat Palestin di Gaza, beliau berkata Malaysia juga menyumbangkan US$1 juta kepada dua pertubuhan di Jordan iaitu Pusat Kanser Raja Hussein dan Pertubuhan Kebajikan Hashemite Jordan (JHCO).
Beliau berkata pelajar Palestin yang sedang melanjutkan pengajian di Malaysia turut menerima bantuan yang disalurkan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) antaranya kemudahan pembiayaan pengajian dan elaun sara hidup.
Mohamad berkata Malaysia akan terus bersuara lantang memperjuangkan pembentukan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berlandaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara dan diiktiraf sebagai negara anggota penuh PBB.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial