AM > BERITA

Lebih 100 Pemborong, Peruncit Dilantik Pastikan Barang Kawalan Berjadual Mencukupi Hadapi Banjir

12/11/2024 04:28 PM

TUMPAT, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melantik 133 pemborong dan peruncit sebagai pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual (CSA) stok mini bagi kawasan terlibat bencana banjir.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata mereka terdiri daripada 67 Peruncit Terpilih Daerah dan 66 Pemborong Terpilih Daerah serta 15 buah premis sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

Beliau berkata pemilihan pemegang stok mini adalah berdasarkan kedudukan sebagai pemegang lesen CSA, lokasi serta kapasiti perniagaan barang kawalan dan keperluan asas yang dijalankan.

"Lantikan pemegang lesen adalah dibenarkan untuk menambah dan menyimpan barang kawalan berjadual sebanyak 30 peratus lebih daripada had simpanan sedia ada dalam lesen CSA sehingga berakhirnya tempoh bencana itu.

"Sebagai langkah persediaan, KPDN Kelantan juga telah mengadakan libat urus bersama agensi-agensi lain di negeri ini dan daerah berdasarkan bekalan dan keperluan yang dijangka berisiko," katanya kepada pemberita selepas memeriksa bekalan barang keperluan di Wakaf Baru di sini hari ini.

Azman berkata KPDN juga mengambil langkah menjelaskan tindakan yang perlu dilaksanakan oleh KPDN di peringkat negeri dan daerah sebagai hala tuju kawal selia menghadapi isu banjir.

Beliau menyatakan kawasan yang dijangka mengalami banjir melibatkan 14 kawasan Parlimen dan 45 kawasan Dewan Undangan Negeri.

"Oleh itu, pemegang lesen CSA perlu bertanggungjawab untuk sentiasa memastikan barang kawalan yang dilesenkan, serta barang-barang keperluan asas lain yang dijual di premis sentiasa mencukupi dan dijual dengan harga yang ditetapkan kerajaan.

"Selain itu, pemegang lesen perlu memaklumkan kepada KPDN dangan kadar segera sekiranya terdapat sebarang kekangan atau masalah yang menyebabkan gangguan untuk menjalankan perniagaan seperti biasa atau mendapatkan bekalan barang kawalan serta keperluan asas," katanya.

Azman berkata pemegang lesen terlibat hendaklah mematuhi arahan di bawah Seksyen 8(1), Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, KPDN negeri ini telah menyita barangan kawalan iaitu gula, minyak masak, tepung gandum, petrol dan diesel dengan nilai kompaun RM119,900, nilai denda RM50,000, manakala nilai rampasan pula RM4.9 juta yang melibatkan 462 tindakan kes serta satu tuduhan mahkamah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan