AM > BERITA

PM Anwar Mulai Lawatan Rasmi Ke Peru, Sertai Minggu Pemimpin Ekonomi APEC

12/11/2024 08:51 PM

Daripada Saraswathi Muniappan

LIMA (Peru), 12 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Lima, Peru pada 13 Nov 2024 dan menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31, yang berlangsung dari 14 hingga 16 Nov di sini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan rasmi itu merupakan lawatan pertama Perdana Menteri ke rantau Amerika Latin sejak menjawat jawatan itu pada 2022.

Pada lawatan itu, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra bagi membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Peru, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta industri Halal dan mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

Lima, ibu negara Peru dengan populasi 11.36 juta, akan menjadi tuan rumah mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016. Negara Amerika Selatan itu bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di utara dan Brazil di timur.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Peru dari Januari hingga Julai 2024 berjumlah RM1.16 bilion, meningkat 36.3 peratus daripada RM847.7 juta dalam tempoh yang sama pada 2023.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Kedua-dua pemimpin juga dijangka akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan semasa di forum serantau dan pelbagai hala, khususnya ASEAN dan APEC, serta akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman,” menurut kenyataan Wisma Putra itu.

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru bagi mempromosikan peluang perniagaan, khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan industri digital. 

 Bertemakan Empower. Include. Grow., Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di bawah kepengerusian Peru, akan memfokuskan kepada pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan, inovasi, pendigitalan dan pertumbuhan mampan.

Penglibatan Perdana Menteri di AELW termasuklah menghadiri Sidang Kemuncak CEO APEC pada 14 Nov, dengan beliau menjadi ahli panel dalam sesi bertema Opportunities and Challenges in the AI Revolution

Anwar juga akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC Dengan Tetamu dan Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), pada 15 Nov.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dijangka akan membuat Pencelahan Malaysia semasa Sesi Pemukiman Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) pada 16 Nov.

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya daripada Ekonomi APEC yang lain.

Sepanjang lawatan beliau, Perdana Menteri akan berkongsi keutamaan-keutamaan Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan pengukuhan kerjasama untuk manfaat semua.

Malaysia adalah satu daripada 12 ekonomi pengasas APEC.

Oleh itu, penyertaan aktif Malaysia dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC mencerminkan komitmen berterusan Negara dalam memajukan kerjasama ekonomi, mempromosikan kesejahteraan bersama, dan mendorong pembangunan inklusif di seluruh rantau Asia Pasifik. 

APEC ialah forum antara kerajaan untuk 21 negara anggota di Lingkaran Pasifik yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia-Pasifik.

Ia mewakili hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan