AM > BERITA

KPM-Yayasan Petronas Cadang Bangunkan Hab STEM PDG Di Tiga Zon

12/11/2024 09:27 PM

PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Yayasan Petronas, di bawah Program Duta Guru (PDG) bercadang membangunkan Hab STEM PDG di Zon Utara, Selatan dan Sabah.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pada masa ini, Hab STEM PDG telah dibangunkan di tiga Pusat Kegiatan Guru; masing-masing di Tanjung Karang, Selangor; Kuala Terengganu, Terengganu; dan Miri, Sarawak.

“Dalam memastikan perubahan sistemik dapat dicapai, PDG turut menyokong peluasan akses kepada bahan sumber sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menerusi pembangunan Hab STEM PDG bagi menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif untuk berkongsi amalan terbaik dalam pendidikan STEM,” katanya semasa merasmikan Simposium Kebangsaan PDG 2024, di sini hari ini.

Hab STEM PDG merupakan inisiatif di bawah kelolaan Yayasan Petronas yang menyediakan ruang kepada komuniti guru bagi memastikan pelaksanaan kurikulum STEM lebih mantap dan relevan dengan keperluan masa kini menerusi pengisian teknologi dan alat bantu mengajar terkini. 

PDG adalah inisiatif Yayasan Petronas dan KPM bertujuan memperkasa kemahiran 4,500 guru STEM menjelang 2030.

Fadhlina dalam ucapannya berkata setiap guru yang menyertai PDG juga akan menerima pakej STEM Kit seperti set Arduino dan Pen 3D bertujuan menyokong usaha Duta Guru dalam memajukan pembelajaran STEM di sekolah.

Selain itu, katanya setiap Duta Guru yang telah menamatkan latihan PDG juga diberikan peluang untuk memohon Dana Duta Guru hingga RM20,000 bagi menjalankan projek berkaitan STEM bersama komuniti di sekolah atau daerah masing-masing.

Beliau berkata tahun lepas, sebanyak 13 Duta Guru dari seluruh Malaysia telah menerima dana tersebut dan bagi Kitaran Kedua 2024 pula, permohonan 28 Duta Guru telah diluluskan untuk Kitaran Kedua pada tahun ini.

“Selain itu, saya ingin memaklumkan bahawa melalui dana Duta Guru, sebanyak 14 daripada 28 buah sekolah di seluruh Malaysia yang telah diluluskan, adalah untuk pembangunan Pusat Inovasi Murid.

“Inisiatif ini adalah untuk meningkatkan minat dan kecekapan pelajar dalam STEM dan KBAT (kemahiran berfikir aras tinggi) di samping semangat kepimpinan dan keyakinan para pelajar tanpa mengira taraf sosioekonomi dan latar belakang mereka,” katanya.

Sementara itu, Yayasan Petronas dalam kenyataan memaklumkan Simposium Kebangsaan PDG 2024 berlangsung selama dua hari bermula hari ini, mengumpulkan lebih 1,000 guru, pegawai pendidikan dan penggubal dasar bagi membincangkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab dalam pendidikan.

Menurut kenyataan itu, simposium berkenaan berfungsi sebagai platform kerjasama yang membawa pendidik bersama-sama untuk bertukar idea, berkongsi amalan terbaik, membina rangkaian berkekalan, di samping menggalakkan guru melaksanakan projek STEM melibatkan pelajar dalam penerokaan STEM mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan