AM > BERITA

Lori Tangki Terbalik Di KM 313.6 PLUS, Laluan Sesak

12/11/2024 09:30 PM

IPOH, 12 Nov (Bernama) -- Pengguna terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas sejauh 13 kilometer (km) susulan insiden lori tangki terbalik dan melintang di KM 313.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Gopeng ke Tapah hari ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi hantaran di laman @llmtrafik memaklumkan setakat 7.34 malam, semua lorong masih ditutup.

"Laluan kontra masih diaktifkan, trafik sesak di kedua-dua arah sejauh 13 km. Sila gunakan laluan alternatif," menurut hantaran itu.

Terdahulu, LLM melalui hantaran di laman yang sama memaklumkan bahawa kemalangan berlaku di lokasi tersebut pada pukul 9.05 pagi dengan semua lorong arah selatan terhalang dan trafik terhenti.

Susulan itu, LLM turut menasihatkan pengguna untuk merancang perjalanan masing-masing serta menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Persekutuan dengan keluar di Persimpangan Plaza Tol Gopeng.

Difahamkan, kesesakan masih berlaku akibat kren yang sepatutnya mengalihkan lori berkenaan mengalami kerosakan dan masih dalam proses dibaiki setakat ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Mohd Naim Asnawi dalam kenyataan memaklumkan  kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dan sebuah jip.

"Disyaki lori tangki hilang kawalan di lorong kiri dan terbabas melintang di tengah jalan. Tiada kemalangan jiwa," katanya ringkas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan