Daripada Nashir Mansor
KAHERAH, 13 Nov (Bernama) -- Lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesir atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi yang berakhir semalam berjaya memperkukuhkan lagi hubungan Malaysia-Mesir serta membuka ruang penerokaan pelaburan baharu bagi kedua-dua negara.
Hasil pertemuan dan mesyuarat dua hala Anwar dan El-Sisi ketika Perdana Menteri melakukan kunjungan hormat ke atas El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menaik taraf hubungan dua hala sedia ada kepada Perkongsian Strategik pada masa hadapan.
“Lawatan ini secara keseluruhan telah mencapai objektifnya iaitu mengeratkan lagi kerjasama dua hala ke arah menaik taraf hubungan dua hala Malaysia-Mesir, ke arah Perkongsian Strategik pada masa hadapan.
“Lawatan ini juga membuka peluang kepada Malaysia untuk menyatakan pendirian serta mencapai persetujuan dengan pihak Mesir ke arah menangani pelbagai isu-isu global semasa, termasuk krisis Palestin-Israel,” kata Anwar kepada wartawan Malaysia pada hari akhir lawatannya semalam sebelum berlepas ke Peru untuk melakukan lawatan rasmi ke negara itu.
Mengenai isu Palestin, kedua-dua pempimpin mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Israel ke atas rakyat Palestin, dan Malaysia bersama Mesir akan terus bekerjasama untuk mendesak supaya serangan ke atas Palestin dan Lubnan dihentikan serta-merta.
Dalam lawatan rasmi yang diadakan sempena ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-Mesir yang ke-65 tahun itu, kedua-dua pemimpin juga sepakat dan komited mencari jalan penyelesaian kekal ke arah negara Palestin yang berdaulat.
Selain itu, Anwar juga memanfaatkan sepenuhnya pertemuannya dengan El-Sisi untuk menyatakan hasrat Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun hadapan untuk menjadikan Sidang Kemuncak ASEAN sebagai platform dialog serantau, termasuk kerjasama dengan Mesir sebagai pengasas Kesatuan Afrika.
“Mesir yakin bahawa Malaysia akan memainkan peranan penting memperkukuhkan kerjasama serantau dan pembangunan bersama,” kata Anwar.
Sementara itu satu sesi meja bulat dihadiri 47 syarikat terkemuka Mesir dan 17 syarikat Malaysia diadakan sempena lawatan Anwar itu, bagi meneroka peluang kerjasama perniagaan dan menjadikan Mesir sebagai hab pasaran untuk Timur Tengah dan Afrika Utara.
Sesi itu berjaya menjana potensi eksport dianggarkan berjumlah RM4.8 bilion.
“Ini mencerminkan peluang besar dalam sektor inovasi bernilai tinggi seperti mana digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030,” kata Anwar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial