KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Jemaah Menteri meluluskan cadangan projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang menelan kos RM442.30 juta pada 8 Nov lepas.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek itu dijangka mengambil masa 48 bulan dengan fasa prapembinaan bermula pada tahun ini dan dijadual siap pada 2027.
“Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh inisiatif pembiayaan swasta MAHB tanpa melibatkan jaminan kerajaan,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata projek naik taraf itu melibatkan penambahan kapasiti terminal daripada sembilan juta kepada 12 juta penumpang setahun serta kemudahan baharu seperti pembinaan kawasan bertingkat dan tambahan tujuh ruangan parkir pesawat (apron).
Selain itu, infrastruktur sokongan iaitu penambahbaikan jalan raya sekitar lapangan terbang dan penggunaan teknologi hijau serta adaptasi Teknologi Airport 4.0 dengan mengintegrasikan automasi dan teknologi canggih untuk meningkatkan kecekapan operasi.
Loke berkata LTAKK, lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatat kapasiti penumpang 9.4 juta penumpang setahun (mppa), melebihi kapasiti semasa pada 2019.
Beliau berkata walaupun penurunan dicatatkan pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19, jumlah penumpang kembali meningkat kepada tujuh mppa pada 2023.
“Berdasarkan unjuran, jumlah ini dijangka meningkat kepada 12.4 mppa menjelang 2034. Hingga Oktober 2024, LTAKK telah mencatat jumlah penumpang 6.6 juta, meningkat 13.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2023,” katanya.
Loke berkata projek menaik taraf LTAKK ialah satu komitmen kerajaan dalam memastikan infrastruktur di Sabah bukan sahaja memenuhi keperluan semasa tetapi bersedia menghadapi permintaan masa depan.
“Saya yakin pelaburan ini bukan sahaja akan memberi pulangan kepada MAHB tetapi juga akan membuka pintu peluang dan kemakmuran untuk rakyat Sabah dan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial