PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan golongan pesara Kementerian Komunikasi, pesara kerajaan mahupun warga emas, agar tidak terjerat dalam perangkap penipuan (scam) khususnya penipuan dalam talian.
Beliau berkata dengan kes-kes penipuan melibatkan golongan pesara dilaporkan semakin meningkat, golongan itu diseru untuk meningkatkan tahap kesedaran serta waspada terhadap jenayah itu.
“Ramai yang terkesan dengan kejadian jenayah scam ini adalah dari kalangan pesara, ada yang merasakan mungkin mereka ini sudah berduit, tiada tanggungan besar dan mereka ini menjadi sasaran utama scammer.
“Oleh itu saya pohon, bukan sahaja pesara Kementerian Komunikasi tapi warga emas dan pesara kerajaan secara amnya untuk tingkatkan tahap kesedaran tentang jenayah scam terkini,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi 2024 di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Fahmi dalam ucapannya turut menggalakkan warga pesara untuk memanfaatkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang turut menawarkan perkhidmatan dalam bidang keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI), sebagai langkah awal dalam melawan ancaman penipuan dalam talian.
“Kita ada 1,099 NADI di seluruh negara di bawah MCMC dan memang ada kelas mengenai AI dan sebagainya, jadi saya jemput para pesara untuk mendapatkan maklumat terkini termasuk mengenai bantuan pihak kerajaan,” katanya.
Beliau seterusnya mengetengahkan kepentingan memperkukuhkan kerjasama dengan persatuan veteran antaranya Persatuan Veteran Jabatan Penerangan bagi melaksanakan pelbagai program yang bermanfaat kepada warga pesara.
Fahmi berkata langkah itu bukan sahaja akan mengeratkan hubungan antara komuniti pesara, tetapi juga membantu dalam menyampaikan maklumat kerajaan.
Beliau juga mencadangkan agar Institusi Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) memberi peluang kepada warga pesara untuk mempelajari kemahiran baharu menerusi kursus-kursus anjuran agensi itu atau menjadikan mereka sebagai tenaga pengajar.
Beliau seterusnya menzahirkan penghargaan kepada kesemua 144 pesara yang diraikan hari ini dan mengingatkan mereka agar terus kekal aktif dalam pelbagai bidang serta menjaga kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial