AM > BERITA

STIDC, Worldview Climate Solutions Meterai MoA Mulakan Inisiatif Karbon Biru

13/11/2024 04:59 PM

KUCHING, 13 Nov (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Perusahaan Industri Kayu Sarawak (STIDC) dan Worldview Climate Solutions (Malaysia) Sdn Bhd hari ini meterai Memorandum Perjanjian (MoA) untuk memulakan inisiatif karbon biru di kawasan bakau Tanjung Manis.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

STIDC diwakili oleh Pengurus Besarnya Zainal Abidin Abdullah manakala Worldview Climate Solutions (Malaysia) Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya Datuk Selva Kumar.

Selepas majlis itu, Awang Tengah berkata beliau berharap projek yang pertama seumpamanya itu akan membuahkan hasil positif.

Menurut kenyataan STIDC, projek itu bertujuan memulihkan dan memulihara 10,000 hektar hutan bakau, membangunkan ekosistem karbon biru, mengumpul karbon daripada bakau yang dipulihkan dan menyokong kepelbagaian biodiversiti serta ekopelancongan tempatan.

Kerjasama itu juga susulan siri kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan sejak 2023 yang mengesahkan kesesuaian Tanjung Manis sebagai tapak karbon biru yang mampan.

“Inisiatif itu mencerminkan dedikasi STIDC untuk memulihara sumber asli kami untuk generasi akan datang sambil memupuk pembangunan ekonomi di rantau ini.

“Dengan sokongan kerajaan Sarawak dan rakan kongsi, kami yakin projek ini akan menjadi asas kepada pertumbuhan mampan di Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis,” kata Zainal Abidin dalam kenyataan yang sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan