AM > BERITA

Universiti Perlu Ekosistem Seimbang Sebagai Penanda Aras, Bukan Hanya Ranking - Zambry

13/11/2024 09:27 PM

NILAI, 13 Nov (Bernama) -- Setiap universiti perlu memastikan keseimbangan ekosistem secara keseluruhan sebagai penanda aras dan bukan hanya menjadikan pencapaian ranking (kedudukan) sebagai matlamat terpenting, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata hal ini kerana untuk menjadikan sesebuah universiti cemerlang, ia turut merangkumi  kedudukan sistem pengajian, pelajar dan kualiti pensyarah selain penerbitan atau penyelidikan yang dikeluarkan.

“Jadi saya menganggap bahawa ranking ini hanyalah panduan dan bukanlah sesuatu yang ultimate atau akhirnya menjadi satu matlamat terpenting dalam sesebuah universiti itu. Universiti perlu seimbang dari segi keperluan negara untuk mendapat pengiktirafan.

“Kita dari negara membangun dalam bidang pendidikan tentunya perlu ada penanda aras bagi universiti kita tetapi itu (ranking) bukanlah semata-mata kriteria untuk menjadikan sebuah universiti itu ternama,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sekretariat Pemikir Muda Negara (Pemikir) di sini hari ini.

Bagaimanapun, Zambry tidak menafikan ranking mampu memberikan perspektif baharu kepada pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian ke negara ini sekali gus membina keyakinan terhadap sistem universiti di Malaysia.

Beliau juga berkata pihaknya akan melakukan penambahbaikan terhadap keperluan pelajar golongan kurang upaya (OKU) di institut pengajian tinggi (IPT) dari semasa ke semasa sekali gus memastikan Dasar Inklusif OKU diamalkan di IPT.

“Saya telah menyatakan bahawa kita mahu golongan ini juga menjadi (ahli dalam) jawatankuasa (dan) duduk bersama-sama untuk memastikan apa keperluan seterusnya yang mungkin belum mencukupi di universiti tertentu,” katanya.

Zambry berkata semua IPT perlu mengambil perhatian serius terhadap isu buli meskipun setakat ini tiada aduan mengenai kes itu di universiti awam.

Ditanya sama ada terdapat keperluan bagi sistem pengasingan senior junior untuk mengelakkan kejadian buli di universiti awam, beliau berkata perkara itu harus mengambil kira pandangan semua pihak dengan penilaian yang menyeluruh.

Terdahulu, Zambry berkata Program KARISMA Pemikir yang disertai 100 pensyarah muda bertujuan memupuk dan memperkukuh kepimpinan golongan itu dalam sektor pendidikan tinggi selain memberi peluang kepada peserta berdialog secara interaktif dengan pemimpin tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Ia juga bagi menambahkan ilmu pengetahuan berkenaan kepimpinan melalui sesi ceramah yang disampaikan dan melalui program ini juga, peserta didedahkan dengan isu-isu berkaitan aspirasi pendidikan tinggi dalam era MADANI yang menekankan prinsip kemajuan, demokrasi dan integriti,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan