AM > BERITA

Ahmad Zahid Tiba Di UAE Bagi Lawatan Rasmi Tujuh Hari

13/11/2024 11:37 PM

Daripada Zarul Effendi Razali

ABU DHABI, 13 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah selamat tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke negara teluk itu bermula hari ini hingga 19 November.

Ahmad Zahid yang tiba di Lapangan Terbang Al Bateen, Abu Dhabi pada 3.12 petang waktu tempatan, menggunakan pesawat khas, diiringi pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan serta wakil daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri disambut oleh Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE Suhail Mohamed Al Mazrouei dan bakal Duta Besar Malaysia ke UAE Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.

Menurut Kementerian Luar dalam kenyataan, ia merupakan lawatan peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara pada tahun ini selepas lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke UAE pada Oktober tahun lepas.

“Ia menunjukkan komitmen berterusan Malaysia dalam usaha mengukuhkan hubungan dan memupuk kerjasama dalam pelbagai sektor yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara sejak hubungan dua hala dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada September 2022,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada lawatan itu, Ahmad Zahid bakal merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Dubai 2024 dan bertemu dengan pihak berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha mempromosikan dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.

“Pada 2023, UAE merupakan pengimport terbesar produk halal Malaysia dalam kalangan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“UAE juga ialah rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dari rantau Asia Barat,” katanya.

Dari Januari hingga September tahun ini, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE meningkat sebanyak 16.03 peratus kepada RM32.85 bilion (US$7.5 bilion) berbanding RM28.31 bilion (US$6.5 bilion) bagi tempoh sama pada 2023.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan