AM > BERITA

Naik Taraf Pasar Awam Dilaksanakan Di Seluruh Negara Tanpa Mengira Fahaman Politik - Kor Ming

13/11/2024 11:42 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) --Kerajaan MADANI akan terus menaik taraf pasar awam usang di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira fahaman politik, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata usaha ini meliputi pasar awam di negeri-negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang seperti Kelantan dan Terengganu.

"Sebagai contoh, bagi negeri Terengganu, pembangunan Pasar Payang Kuala Terengganu telah menerima peruntukan sebanyak RM81.2 juta yang meliputi pembinaan pasar sementara dengan peruntukan sebanyak RM12.2 juta.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk kerja menaik taraf Pasar Borong Gong Pauh, yang mana kerja naik taraf akan bermula pada tahun depan," katanya menerusi satu kenyataan malam ini.

Kor Ming berkata bagi negeri Kelantan, KPKT telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5.5 juta untuk menaik taraf Pasar Awam Siti Khadijah dan pelaksanaannya dijangka siap pada Januari depan.

Selain itu, KPKT juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM800,000 untuk menaik taraf Pasar Besar Tanah Merah, termasuk penyediaan bekalan air dan elektrik, pemasangan awning, pembinaan tandas serta sistem saliran longkang. 

"Keseluruhan projek ini telah siap sepenuhnya. Hal ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mengambil kira kebajikan dan keperluan semua negeri tanpa mengira fahaman politik," katanya.

Kor Ming berkata KPKT telah menaik taraf 112 unit pasar awam sehingga 1 Nov lepas, melebihi sasaran tahunan yang ditetapkan iaitu 100 unit.

Sementara itu, bagi tahun 2025, KPKT akan memperuntukkan sebanyak RM54.4 juta bagi membina gerai, membaik pulih prasarana pasar awam, serta menaik taraf gerai dan warung kecil di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan