AM > BERITA

Amil, Ejen Zakat Dilantik Hanya Terpakai Di Negeri Di Bawah MAIN

14/11/2024 03:31 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Hukum lantikan atau tauliah yang diberikan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) kepada mana-mana individu atau organisasi sebagai amil atau ejen zakat adalah sah di sisi hukum syarak, namun hanya terpakai di negeri di bawah bidang kuasa MAIN.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Datuk Dr Nooh Gadut berkata sesuatu tauliah atau lantikan yang membenarkan amil atau ejen mengutip zakat di luar sempadan negeri adalah tidak sah mengikut hukum syarak serta bercanggah dengan undang-undang berkaitan zakat yang berkuat kuasa di negeri-negeri.

Nooh berkata perkara itu merupakan antara empat keputusan yang dipersetujui menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke-125 berhubung hukum kutipan zakat di negeri lain yang bersidang pada 24 hingga 26 Sept lepas.

Beliau berkata perkara lain yang dipersetujui melalui mesyuarat itu ialah hukum memindahkan hasil kutipan zakat oleh individu atau organisasi yang dilantik atau diberikan tauliah sebagai amil atau ejen zakat di mana-mana MAIN ke negeri lain adalah tidak sah.

“Ia bercanggah dengan peruntukan undang-undang berkaitan zakat negeri kerana tempat zakat itu dikutip berada di luar sempadan negeri dan bidang kuasa MAIN yang mengeluarkan tauliah terbabit serta bertentangan dengan syarat-syarat yang membenarkan zakat dipindahkan mengikut hukum syarak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mesyuarat turut berpandangan bahawa hukum mengembalikan sebahagian hasil kutipan zakat kepada individu atau organisasi yang menjalankan tugas sebagai amil atau ejen zakat atas prinsip upah sedangkan zakat dikutip di luar dari sempadan negeri yang mengeluarkan tauliah adalah tidak sah.

“Mengikut hukum syarak ia tidak sah kerana mereka tidak dianggap sebagai amil di negeri berkenaan (di luar MAIN),” katanya.

Nooh berkata perkara lain yang dipersetujui ialah hukum membayar zakat kepada pihak yang tidak dilantik sebagai amil atau ejen zakat untuk negeri terbabit adalah tidak sah.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang merupakan badan penyelaras MKI telah menyembah maklum kesemua pandangan itu kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi MKI seterusnya telah dibawa ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 pada 23 dan 24 Okt lepas.

“Dalam hal ini, majlis mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan