AM > BERITA

MICT Dijangka Beroperasi Suku Ketiga 2026 - Ab Rauf

14/11/2024 05:49 PM

MELAKA, 14 Nov (Bernama) -- Melaka International Cruise Terminal (MICT) satu daripada komponen utama dalam pembangunan Melaka Gateway di Pulau Melaka di sini dijangka beroperasi pada suku ketiga 2026.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata MICT yang dilengkapi jeti berbentuk 'L' itu mampu menerima sebuah kapal pesiar terbesar di dunia seperti Oasis of the Seas dengan kapasiti maksimum 8,880 penumpang dan anak kapal di dermaga luar.

"Setakat ini, kemajuan pembinaan jeti berkenaan mencapai hingga 50 peratus siap pelaksanaannya daripada aspek infrastruktur dan saya berpuas hati dengan kemajuan projek itu.

"Saya yakin pada suku ketiga 2026, jeti ini boleh beroperasi dan kita jangkakan sepertimana dalam perancangan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035, jeti ini akan menjadi satu daripada sumber suntikan ekonomi kepada negeri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek MICT dan Galeri Projek Melaka Gateway KAJ Development Sdn Bhd yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata dermaga dalam di jeti berkenaan pula mampu menampung sebuah kapal seperti 'Freedom of the Seas' dengan had maksimum 5,875 penumpang dan anak kapal.

Beliau berkata buat permulaan, jeti berbentuk L berkenaan dapat memuatkan empat kapal pesiar pada satu-satu masa namun sekiranya terdapat permintaan atau keperluan, reka bentuk jeti itu akan ditambah ke bentuk 'T' bagi membolehkan lebih banyak kapal pesiar berlabuh. 

Beliau berkata projek MICT juga bakal menjadi sebuah jeti kapal pesiar terbesar di Asia Tenggara sekali gus memain peranan penting dalam industri pengangkutan laut di Melaka.

"Saya juga yakin, projek ini berpotensi meningkatkan pertambahan pelancong dari serata dunia yang masuk menerusi persinggahan kapal mewah di terminal tersebut di samping memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan terunggul di persada antarabangsa.

"Seperti kita sedia maklum, setakat ini pihak Genting Dream Cruise bersetuju untuk berlabuh di Melaka pada setiap Isnin sekali gus menunjukkan industri terminal kapal pesiar ini mempunyai potensi besar bagi Melaka pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan