AM > BERITA

Pengusaha Ikan Celup Tepung Popular Pok Nong Meninggal Dunia

14/11/2024 06:48 PM

KUALA NERUS, 14 Nov (Bernama) -- Pengusaha ikan celup tepung terkenal Terengganu Md Non Nawang, 68, atau lebih dikenali sebagai Pok Nong meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala.

Anak lelakinya Mohd Hazwan, 40, berkata ayahnya meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 11.41 malam tadi selepas dua hari menerima rawatan.

"Sebelum konvokesyen adik saya Nor Arrissyah, ayah dah dua hari demam. Ketika perarakan akademik berlangsung Selasa lepas ayah tiba-tiba jatuh. Beberapa petugas membawa ayah ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) sebelum dibawa ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

"Semalam dia ditidurkan sebelum dimasukkan ke dewan pembedahan darah beku akibat strok tahap empat, tetapi disahkan meninggal dunia malam tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hazwan berkata jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Mengabang Telipot pada pukul 11 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Hajar, Kampung Gong Awang Lib.

Allahyarham Md Non yang lebih 30 tahun berniaga di Jalan Pantai, Kampung Mengabang Telipot meninggalkan seorang balu dan lapan anak.

Warungnya yang menyediakan pelbagai jenis makanan laut celup tepung sentiasa menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan