AM > BERITA

Digitalisasi Pemacu Inovasi Dan Kecekapan Perkhidmatan Awam - KSN 

16/11/2024 11:26 AM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 16 Nov (Bernama) -- Aplikasi teknologi digital yang sedang dilaksanakan dalam negara dijangka memacu inovasi serta meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata langkah berkenaan adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kerajaan pimpinannya memberi penekanan kepada digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) serta memastikan agensi kerajaan mengadaptasi teknologi terkini dalam operasi mereka.

"Sebagai permulaan, kita sudah melihat beberapa agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, dan Kementerian Kesihatan yang telah mula mengimplementasikan digitalisasi dalam perkhidmatan mereka.

“Contohnya, banyak jabatan kerajaan kini tidak lagi menerima pembayaran tunai, dengan penggunaan kaedah tanpa tunai ini dapat mengurangkan kecenderungan salah laku dan mengelakkan ketirisan,” katanya kepada Bernama menerusi satu wawancara khas sempena 100 hari pelantikannya sebagai KSN ke-16 pada 19 November ini.

Shamsul Azri, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari Universiti Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat dilantik sebagai KSN berkuat kuasa 12 Ogos.

Menurut Shamsul Azri, digitalisasi bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam malah ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja yang tinggi seterusnya menjana penjimatan kos untuk kerajaan.

"Jadi, kita menuju ke arah itu kerana kita percaya apabila melaksanakan pendigitalan, kita boleh mengawal bilangan pekerja kerana buruh adalah kos...Apabila kita melaksanakan pendigitalan, kos kepada kerajaan akan dikurangkan. Kerajaan di bawah PMX (Anwar) menyokong sepenuhnya AI. Kita memang ke arah kerajaan digital,” katanya.

Dalam konteks jangka panjang, beliau berkata digitalisasi dapat mengurangkan kebergantungan kepada kaunter fizikal dengan membolehkan orang ramai mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan secara dalam talian, sekali gus mengurangkan keperluan untuk hadir ke pejabat atau kaunter kerajaan.

“Dari segi jangka panjang, kita akan memang ke arah pengkomputeran dan pendigitalan. Kita akan kaji semua peraturan, sistem dan prosedur yang kita boleh ubah menjadi sistem boleh dilaksanakan dan mudahkan rakyat.

“Sebenarnya, semakin kita mengekalkan pendekatan fizikal, kita kena melabur untuk membuat bangunan, buat kaunter dan gunakan orang.

“Tapi bila kita ke arah pengkomputeran, kita kurangkan kos, kurangkan beban kerajaan. Itu sepatutnya yang menjadi keutamaan. Itu yang negara maju buat,” kata figura yang pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Selain itu, bagi tujuan pembangunan kompetensi penjawat awam, Shamsul Azri berkata buat masa ini sebanyak 21 pegawai dari 11 kementerian dan agensi telah dihantar ke Bangalore atau lebih dikenali sebagai ‘Lembah Silikon India’ menerusi program Accelerated Industrial Attachment for Competency Excellence (AICE), bertujuan mendalami bidang AI di syarikat terkemuka.

Selepas tempoh enam bulan menjalani latihan, peserta AICE akan mengkaji kaedah bersesuaian yang boleh diimplementasikan dalam jabatan masing-masing sekali gus mempelopori reformasi digital dalam perkhidmatan.

“Peserta terdiri daripada pegawai kanan. Tamat tempoh enam bulan, mereka akan balik dan kaji di kementerian dan agensi mereka, mana kita boleh buat penambahbaikan, mana kita boleh buat pendigitalan, yang mana kita boleh tingkatkan masa memproses dan sebagainya,” kata Shamsul Azri.

Program AICE adalah inisiatif kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertujuan membangunkan kepakaran dalaman (pengurusan dan teknikal) perkhidmatan awam dengan kerjasama syarikat luar meliputi bidang AI, peralihan tenaga, transformasi digital, keterjaminan makanan, pengurusan bencana, keselamatan siber dan persempadanan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan