KUANTAN, 16 Nov (Bernama) -- Perjanjian jual beli tanah di Gebeng antara Pasdec Holdings Bhd (Pasdec) dengan Petroluxe Refinery (M) Sdn Bhd (Petroluxe) yang dimeterai pada 13 Nov lepas adalah berstatus tanah pajakan 99 tahun bagi kegunaan industri.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata menerusi perjanjian itu, Petroluxe akan membangunkan sebuah kompleks bersepadu loji penapisan minyak dan petrokimia yang melibatkan pelaburan berjumlah kira-kira RM3 bilion.
Beliau berkata sebagai pelabur yang akan melaburkan sejumlah wang yang besar untuk mendirikan loji berkapasiti tinggi di atas tanah itu, Petroluxe semestinya memerlukan jaminan pihaknya boleh mengguna pakai tapak loji penapisan berkenaan secara berterusan dengan membeli tanah tanpa perlu menyewa untuk jangka masa terhad.
Petroluxe, syarikat tempatan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pemegang saham majoritinya ialah Unigrand Petroluxe Sdn Bhd makan tidak wujud isu pemilikan oleh syarikat asing secara terus.
“Petroluxe sudah memperoleh kelulusan secara dasar daripada MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan MIDA (Lembaga Pembangunan Industri Malaysia) untuk mendirikan sebuah loji penapisan.
“Pelaburan ini bakal memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri Pahang serta kesan ekonomi berganda dan kemampanan dengan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Wan Rosdy mengharapkan rakyat tidak terkeliru dengan permainan persepsi yang cuba ditimbulkan seolah-olah Pasdec dengan sewenang-wenangnya menjual tanah kepada pihak luar tanpa ada perancangan jangka panjang.
“Saya juga telah meminta Penasihat Undang-Undang Negeri untuk meneliti dan mengambil tindakan undang-undang … sekiranya terdapat sebarang unsur fitnah, menghasut serta menimbulkan sangkaan jahat terhadap kerajaan negeri.
“Dalam pada itu, saya ingin menjelaskan keberangkatan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (pada majlis itu) hanyalah untuk menyaksikan sahaja majlis menandatangani perjanjian berkenaan,” kata Wan Rosdy.
Beliau berkata penjualan tanah kepada pelabur negara luar untuk membangunkan industri bukan satu perkara baharu malah sudah sudah lama dipraktikkan bukan sahaja di Pahang tetapi juga di negeri lain untuk tujuan pertumbuhan ekonomi.
Wan Rosdy berkata menerusi perjanjian ini, Pasdec, sebuah syarikat awam tersenarai di Bursa Malaysia dengan aktiviti utamanya adalah sebagai syarikat pemegang pelaburan akan memperoleh sekitar dua peratus ekuiti dalam syarikat usaha sama ini.
“Melalui anak-anak syarikatnya, Pasdec menjalankan aktiviti pembangunan hartanah, pengurusan projek dan pembinaan. Sebagai pemaju hartanah, Pasdec membangunkan bank tanah yang dimiliki sama ada secara sendiri, melalui usaha sama atau penjualan kepada pihak yang akan memajukan projek tertentu dan ianya merupakan urusniaga biasa (ordinary course of business) bagi Pasdec.
“(Sehubungan itu) melalui hasil jualan tanah berkenaan, Pasdec boleh mempercepat pembinaan projek-projek perumahan dan komersial yang sudah dalam perancangan yang akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Pahang memiliki kediaman selesa pada harga berpatutan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam kenyataan berasingan menyeru semua pihak untuk melihat perjanjian tersebut sebagai langkah strategik menjamin masa depan Pahang.
“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kami sentiasa memastikan pelaburan yang diterima bukan sahaja menguntungkan negeri tetapi juga memberikan impak langsung kepada kesejahteraan rakyat khususnya dalam mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi.
“Sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia, saya berkeyakinan penuh projek ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi tenaga kerja tempatan ke arah sektor teknologi tinggi dan industri bernilai tambah sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia di peringkat global,” katanya.
Ahli Parlimen Lipis itu berkata permainan persepsi yang cuba ditimbulkan berhubung perjanjian termeterai itu hanya akan membantutkan usaha kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang sangat diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Pasdec menggunakan hasil daripada jualan tanah tersebut untuk mempercepatkan pembangunan projek perumahan mampu milik di Pahang. Ini adalah langkah tepat untuk memastikan rakyat Pahang bukan sahaja mendapat peluang pekerjaan tetapi juga mampu memiliki kediaman selesa pada harga berpatutan.
“Saya juga menyokong tindakan Menteri Besar Pahang untuk meneliti langkah undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan fitnah dan hasutan. Isu seperti ini tidak seharusnya dijadikan permainan politik kerana ia melibatkan masa depan rakyat dan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial