AM > BERITA

Program MyLesen B2 Langkah Lahirkan Penunggang Motosikal Kompeten, Celik Undang-Undang

16/11/2024 01:26 PM

NIBONG TEBAL, 16 Nov (Bernama) -- Program MyLesen B2 ialah satu daripada usaha kerajaan dalam melahirkan penunggang motosikal yang kompeten dan celik undang-undang keselamatan jalan raya sekali gus mengurangkan bilangan nahas motosikal.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata di bawah program ini, golongan belia dan B40 berpeluang mendapatkan lesen B2 secara percuma dan kerajaan menyasarkan 35,000 penerima untuk tahun ini.

 "Program ini akan diteruskan pada tahun depan kerana walaupun ramai anak muda masa kini pandai menunggang motosikal tapi mereka tidak faham undang-undang dan keselamatan di jalan raya.

"Kita mahu golongan belia menjadi penunggang motosikal yang cekap," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Program MyLesen B2 Tahun 2024 di sini hari ini yang disempurnakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. 

Beliau berkata kadar kemalangan maut akibat nahas jalan raya adalah sebanyak 6,024 kes di seluruh negara pada 2023 dan 4,489 kes kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal. 

Oleh itu, beliau berkata tindakan segera perlu dilakukan bagi membendung angka ini daripada terus meningkat, dan mewujudkan jalan raya yang selamat. 

"Selain itu, program ini juga diharapkan dapat membantu golongan belia dan B40 yang berniaga atau bekerja sebagai penghantar barang atau makanan beroperasi dengan lesen yang sah.

"Ini kerana dengan ada lesen, mereka lebih terlindung dari segi insurans dan PERKESO," katanya.

Sementara itu, pada sidang media yang sama, Fadhlina berkata inisiatif ini sangat bermanfaat kepada rakyat kerana ia secara tidak langsung memperjuangkan isu keselamatan jalan raya.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata program berkenaan melibatkan seramai 656 penerima MyLesen B2 di Parlimen berkenaan dan lebih separuh ialah pelajar sekolah. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan