AM > BERITA

Anwar, Luxon Bincang Kerjasama, Tingkat Perdagangan Antara Kedua-dua Negara

16/11/2024 11:59 PM

Daripada M.Saraswathi

LIMA (Peru), 16 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan singkat bersama rakan sejawat beliau dari New Zealand, Christopher Luxon, sebelum bermula hari terakhir Sidang Kemuncak APEC 2024.

“Kami sepakat untuk melonjakkan lagi hubungan antara kedua-dua negara menerusi kerjasama pelbagai bidang, terutamanya meningkatkan perdagangan dan pelaburan (sehingga) sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

“Kami turut membincangkan kerjasama dalam bidang pendidikan Teknologi Maklumat (IT), kejuruteraan, pertanian dan industri halal,” kata beliau di luar acara Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di sini.

New Zealand merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Australasia dengan nilai perdagangan mencecah US$2.54 bilion tahun lepas. 

Selain itu, kedua-dua negara juga turut menyasarkan peningkatan perdagangan dua hala sebanyak 50 peratus menjelang 2030, terutamanya dalam sektor pembuatan bernilai tinggi dan ekonomi digital.

APEC adalah forum antara kerajaan bagi 21 negara anggota di Lingkaran Pasifik yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia-Pasifik.

APEC mewakili hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global.

Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC selain Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan