AM > BERITA

Kerajaan Ingin Jadikan Aset Tanah Di Kelantan Pemangkin Ekonomi Industri Makanan, Pertanian

17/11/2024 08:00 PM

KOTA BHARU, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan bercadang menjadikan aset tanah yang luas di Kelantan sebagai pemangkin kepada perkembangan ekonomi masa depan menerusi industri makanan dan pertanian.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata bagi tujuan itu, pihaknya merancang membangunkan banyak kilang terutama yang berasaskan industri berkenaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menarik pelabur ke negeri itu.

"Di Kelantan, aset tanah yang ada bukan sahaja milik persendirian malah tanah kerajaan negeri juga masih banyak yang belum diterokai dan kita memikirkan cara aset-aset ini boleh dimanfaatkan.

"Kita berhasrat menjadikan tanah yang belum diterokai sebagai gedung makanan serta projek berasaskan makanan dan apabila ia berskala besar, baharulah kita boleh meyakinkan kilang-kilang yang berkaitan untuk berpindah ke Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog mengenai Sesi 2 Libat Urus RMK13 bersama Kerajaan Negeri Kelantan di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata dalam tempoh lima hingga 15 tahun akan datang, kerajaan menjangkakan banyak peluang pekerjaan yang ada di Kelantan cenderung ke arah industri makanan dan pertanian.

Beliau berkata perancangan perlu dilakukan bagi membangunkan tanah yang belum diterokai bagi membolehkan rakyat menambah pendapatan dengan bercucuk tanam.

"Pertanian ini boleh dijalankan secara moden, mampan dan mendapat hasil yang baik, bukan bermusim," katanya.

Rafizi berkata antara pendekatan yang perlu diambil oleh kerajaan bagi menjayakan langkah itu ialah menyediakan bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam bentuk baja, dana serta modal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan