AM > BERITA

Perobohan Stadium Shah Alam Capai Kemajuan 45.81 Peratus Setakat 30 Okt

18/11/2024 03:35 PM

SHAH ALAM, 18 Nov (Bernama) -- Kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam telah mencapai kemajuan 45.81 peratus setakat 30 Okt lepas, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. 

Beliau berkata peratusan itu menunjukkan kemajuan peningkatan kerja tiga hari lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan sejak stadium itu mula dirobohkan pada Julai.

"Perobohan Stadium Shah Alam merupakan fasa pertama bagi pembangunan Kompleks Stadium Shah Alam (KSSA) dan kita jangkakan ia selesai pada Jun tahun hadapan.

“Pembangunan fasa pertama KSSA yang merangkumi stadium, terminal bersepadu, plaza tempat letak kenderaan, kawasan rekreasi dan padang latihan pula dijangka selesai pada suku pertama 2027," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin menjawab pertanyaan Muhammad Hilman Idham (PN-Gombak Setia) mengenai sasaran kerajaan negeri untuk kerja pembangunan KSSA dan bila ia dapat disiapkan.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu berkata bagi fasa kedua KSSA, pembangunan projek itu akan mengandungi bangunan teater tertutup, ruang niaga, sayap sukan serta sayap belia dan ia dijangka bermula pada pertengahan 2027 hingga akhir 2029.

Menurutnya, pembinaan hotel pula dirancang dimulakan pada 2028 hingga 2030 untuk fasa ketiga KSSA.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerja-kerja perobohan struktur Stadium Shah Alam disesuaikan dengan  projek pembinaan Transit Aliran Ringgan 3 (LRT3).

“LRT3 (dijangka) beroperasi pada akhir 2025 dan kalau kita tidak melaksanakan perobohan hingga LRT3 beroperasi, kemungkinan kerja-kerja tersebut akan menjadi lebih sukar,” katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan