AM > BERITA

COP29: Malaysia Terajui Pembangunan ACCF, Kerjasama Serantau Pasaran Karbon

18/11/2024 10:59 PM

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

BAKU (Azerbaijan), 18 Nov (Bernama) -- Lima persatuan pasaran karbon utama yang mewakili Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan ASEAN hari ini memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) untuk menyokong Kerangka Karbon Bersama ASEAN (ACCF). 

Lima persatuan itu terdiri Persatuan Pasaran Karbon Malaysia (MCMA), Perikatan Pasaran Karbon ASEAN (AACM), Persatuan Perdagangan Karbon Indonesia (IDCTA), Kelab Pasaran Karbon Thailand (TCMC) dan Persatuan Kewangan Lestari Singapura (SSFA).

Majlis pertukaran dokumen itu berlangsung di Pavilion Malaysia pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), Persidangan Pihak-pihak ke-29 (COP29) dan disaksikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata MoC itu mencerminkan peningkatan pengiktirafan mengenai keperluan mendesak untuk menangani perubahan iklim dan sebahagian inisiatif yang diharapkan untuk dilaksanakan sebagai Strategi ASEAN bagi mencapai Keneutralan Karbon apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.

“Ini langkah penting untuk memajukan pertumbuhan pasaran karbon dalam ASEAN yang akan membantu mencapai pendekatan bersepadu, cekap dan boleh dipercayai sekali gus memupuk kerjasama serantau dan mempercepat pelaburan untuk karbon rendah,” katanya.

Nik Nazmi berkata Malaysia sudah menunjukkan kemajuan dalam membangunkan rangka kerja karbon komprehensif yang dimulakan oleh Kumpulan Kerja Pasaran Karbon di bawah Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia (ASEAN-BAC-MY).

Beliau berkata ACCF penting kerana ia bertujuan membuka peluang projek karbon kepada rantau ASEAN dan pada masa yang sama mewujudkan isyarat permintaan lebih kukuh melalui pasaran karbon yang dapat disepadukan di seluruh rantau ini.

Ia juga selaras dengan Teras Strategik 4 dan 5 Sumber Asli dan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 yang baru dilancarkan.

“Kerangka kerja ini tepat pada masanya ketika Malaysia sedang berusaha untuk membangunkan sistem pengkreditan karbon sendiri dan meneroka pilihan lain yang ada dalam pematuhan pasaran karbon,” katanya.

Memandangkan Malaysia menyandang jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, negara juga menggalas tanggungjawab untuk menjadi contoh yang baik bagi kerjasama rentas sempadan.

“Pavilion Malaysia di COP29 menjadi bukti kepimpinan ini, mempamerkan pendekatan inovatif untuk pembangunan mampan dan menganjurkan beberapa program ASEAN yang menonjolkan usaha kolektif negara dalam menangani cabaran iklim serantau.

“Kerjasama ini meletakkan Malaysia pemain utama dalam tindakan iklim. Objektif dan hasil pada COP29 mestilah jelas, boleh diukur dan memberi kesan. Fokus kita adalah untuk mengukuhkan komitmen iklim, mendapatkan pembiayaan, peralihan yang seimbang dan menggalakkan kerjasama serantau,” katanya.

Nik Nazmi berkata Malaysia juga sedang bersedia untuk menerajui ASEAN dalam membentuk penyatuan suara mengenai tindakan iklim pada COP30 di Brazil dan mengetuai Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Perubahan Iklim, memastikan keutamaan kolektif rantau ini disampaikan dengan berkesan di peringkat global.

Beliau berkata kenyataan ini akan mencerminkan komitmen padu ASEAN terhadap matlamat iklim, kerjasama serantau, dan mempercepat inisiatif pembangunan mampan.

“Dengan mengetuai usaha ini, Malaysia menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan ASEAN dalam perbincangan iklim global dan memacu kemajuan bermakna dalam menangani krisis iklim,” katanya.

Nik Nazmi berkata pada COP29, Malaysia akan memberikan tumpuan kepada beberapa inisiatif iklim global yang penting dalam kerangka kerja UNFCCC yang lebih menyeluruh,

Keutamaan itu termasuk New Collective Quantified Goal (NCQG), pengoperasian Dana Kerugian dan Kerosakan, pelaksanaan Artikel 6 Perjanjian Paris mengenai mekanisme pasaran karbon, dan kemajuan matlamat global mengenai penyesuaian. 

“Keutamaan ini sejajar dengan objektif iklim Malaysia, menyokong pendekatan seimbang terhadap pembiayaan iklim, penyesuaian dan mekanisme kerugian dan kerosakan. Kerjasama serantau melalui ASEAN juga akan memainkan peranan utama dalam pendekatan Malaysia di COP29,” katanya.

Penyertaan Malaysia pada COP29 dari 11 hingga 22 Nov di Stadium Baku bertujuan mengukuhkan komitmen terhadap ekonomi hijau seperti digariskan dalam Belanjawan 2025.

Pavilion Malaysia di COP29 bertemakan ‘Shift for Sustainability: Climate Action Now!’ diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan