AM > BERITA

Pendekatan Komprehensif Antara Pemain Media Dan Pihak Berkuasa Depani Salah Guna AI - Ashwad Ismail

18/11/2024 11:40 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Pendekatan komprehensif di antara kerajaan, pemain industri media serta pihak berkuasa perlu digerakkan bagi mendepani risiko penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) terutamanya berkaitan penyebaran kandungan berita palsu.

Ketua Pengarang Astro Awani Ashwad Ismail berkata sesi libat urus serta perbincangan dengan pemain industri media kerajaan dan swasta juga perlu diusahakan bagi mencari penyelesaian terbaik dalam merangka tindakan menghadapi perkara tersebut.

“Ia adalah ‘pendekatan seluruh masyarakat’. Sebelum kita membuat keputusan perlu ada libat urus sewajarnya, terutama daripada kerajaan dan seluruh sektor merangkumi masyarakat sivil, media dan pihak berkuasa untuk duduk bersama-sama dan cari ‘apa cara terbaik’ dalam kita merangka dan menghadapi keadaan semasa.

“Kita faham risiko dan kita tahu juga AI ‘akan kekal bersama’. Maknanya ia perlukan satu pendekatan yang komprehensif dan rundingan wajar semua pihak. Dalam konteks kewartawanan di Malaysia contohnya melalui Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan kita (Astro Awani) di sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberikan taklimat ‘AI di Bilik Berita’ kepada petugas Bernama di sini, hari ini.

Ashwad berkata isu penyebaran maklumat yang salah bukan sahaja dihadapi di negara ini, sebaliknya perkara itu telah menjadi risiko universal dan berlaku di seluruh dunia.

“Apa yang terbaik adalah semua pihak perlu ‘duduk berbincang bersama mencari cara terbaik menangani kesan AI, dan pada masa yang sama merebut peluang yang dibawa AI’. Memang keadaan sekarang ini isu maklumat salah adalah antara risiko dunia. Ia bukan sahaja di Malaysia.

“.. tapi belajar daripada apa yang berlaku daripada perkembangan teknologi sosial media, ‘cara ia dipelajari’ dapat kita gunakan dalam kemajuan dunia AI,” katanya.

Seramai 32 petugas Bernama yang terdiri daripada editor, penyunting berita dan ketua-ketua meja menyertai program dua jam itu yang membincangkan mengenai penggunaan AI dalam meningkatkan kecekapan penghasilkan berita dan isu-isu etika yang mungkin timbul serta panduan dalam mengintegrasikan AI dalam aliran kerja bilik berita.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Bernama (Perkhidmatan Berita) Nasriah Darus, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Mohd Haikal Mohd Isa dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa, Ravichandran DJ Paul.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata siri ceramah berkaitan AI yang diadakan hari ini bertujuan memberi pendedahan dan pemahaman yang lebih mendalam berkaitan teknologi itu dalam kalangan petugas.

“Kita mengadakan ceramah berkaitan dengan AI kerana menyedari kepentingan menerima teknologi-teknologi terkini yang digunakan dalam bilik berita. Sebab itu bagi siri ceramah khusus untuk editor melibatkan topik AI ini kita menjemput mereka yang telah melaksanakan dengan meluas penggunaan AI di tempat mereka termasuk di Awani.

“Saya berharap perkongsian ini dapat membantu para editor kita dalam melaksanakan tugas dengan lebih baik dan membimbing wartawan-wartawan kita untuk menerima dan mengguna pakai AI bagi memudahkan tugas harian mereka,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan