AM > BERITA

DUN Sabah: 3,978 KIR Berstatus Miskin Tegar Sehingga September

19/11/2024 12:01 PM

KOTA KINABALU, 19 Nov (Bernama) -- Terdapat sebanyak 3,978 ketua isi rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan 68,089 KIR berstatus miskin sehingga Septermber lepas di negeri ini, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata ini menunjukkan sebanyak 72,067 KIR berada dalam status miskin dan miskin tegar dalam tempoh itu, melibatkan seramai 265,335 Ahli Isi Rumah (AIR).

“Angka kemiskinan ini merupakan data dinamik iaitu data yang sentiasa berubah mengikut masa dalam pangkalan data e-Kasih,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Jonnybone Kurum (GRS-Telupid) yang bertanya perkembangan bagi inisiatif kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan di Sabah.

Nizam berkata berdasarkan data statik sehingga Januari 2023, sebanyak 22,510 KIR serta 94,315 AIR miskin tegar direkodkan, dan kumpulan ini berjaya dibawa keluar daripada status itu menerusi Program Menoktahkan Miskin Tegar Fasa Satu 2024 pada 31 Julai lepas.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) sedang menjejaki KIR yang tidak berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih yang layak mendapatkan intervensi bantuan miskin dan miskin tegar itu.

“Berdasarkan kerja-kerja pemprofilan di lapangan yang dilaksanakan oleh pasukan petugas Sekretariat SMJ setakat ini telah merekodkan seramai 268 KIR yang tiada dalam daftar pangkalan data e-Kasih.

“Perkara ini disebabkan beberapa faktor seperti masalah kewangan berurusan di Pejabat Daerah, kekangan pengangkutan keluar ke pekan, tiada akses kepada pendaftaran di dalam sistem atas talian e-Kasih, keengganan KIR daftarkan diri disebabkan rasa segan atau malu dan sebagainya,” katanya.

Nizam berkata Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah menggariskan lima teras utama bagi intervensi bantuan iaitu perumahan, pendidikan, pekerjaan, kebajikan dan keusahawanan, manakala setakat bulan lepas 77,256 intervensi bantuan telah disalurkan kepada golongan miskin tegar. 

Beliau berkata 50,556 KIR telah menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan nilai RM450 hingga RM1,200 bagi golongan miskin dan miskin tegar di seluruh Sabah pada tahun ini.

“Setakat ini, sejumlah RM58.79 juta di bawah Program SARA telah diagihkan kepada mereka yang tergolong dalam golongan miskin dan miskin tegar di seluruh Sabah,” katanya.

Tambah beliau, pada Program Menoktahkan Miskin Tegar Fasa Dua Tahun 2025, kerajaan negeri akan terus komited dan berusaha bukan sahaja dalam menangani isu miskin tegar, tetapi bersekali dengan kategori miskin.

“Pembancian dan pemantauan KIR dan AIR akan diteruskan ke atas nama yang tersenarai dalam data statik 2024 dan data dinamik dalam pangkalan data e-Kasih. Perhatian juga akan diberikan kepada KIR dan AIR yang tercicir dalam senarai e-Kasih bagi tujuan intervensi bantuan yang bersesuaian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan