AM > BERITA

Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Jadi Platform Tingkat Pemahaman Rakyat

19/11/2024 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang diadakan serentak dengan Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) pada 22 hingga 24 Nov ini akan mempertingkatkan pemahaman mengenai usaha Kerajaan MADANI mereformasi perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat.

Pengarah Seksyen Daya Saing Negara, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wan Fazlin Nadia Wan Osman berkata konvensyen anjuran MPC dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu turut menjadi  platform untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai usaha reformasi yang telah dilaksanakan kerajaan ke arah menambah baik perkhidmatan awam negara.

“Usaha reformasi ini adalah usaha berterusan, umpamanya inisiatif di bawah platform Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan juga agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini.

Beliau berkata konvensyen itu juga akan mengumpulkan tokoh-tokoh perkhidmatan awam,  ahli akademik dan pihak swasta untuk berkongsi mengenai kolaborasi dan cabaran di sebalik usaha reformasi perkhidmatan awam.

Selain itu konvensyen berkenaan juga bakal menyaksikan pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur antara Ketua Setiausaha Negara dengan 13 Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai lambang solidariti dalam memperkukuh komitmen bersama untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berkesan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Wan Fazlin Nadia berkata Pekeliling Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) yang bertujuan memperkenalkan langkah baharu bagi mempercepat pelaksanaan reformasi dalam perkhidmatan awam akan turut dilancarkan pada konvensyen itu.

Program 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan dihadiri seluruh jentera pentadbiran negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri selain ketua-ketua jabatan serta agensi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan