PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Jenama minuman tempatan, Tealive menjadi syarikat pertama menyahut Kempen Jom Kosong di negara ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata menerusi kempen berkenaan, RM0.20 bagi setiap cawan minuman tanpa gula yang terjual akan disumbangkan kepada Tabung Bantuan Makanan Sekolah Tealive serta disalurkan ke Yayasan Didik Negara untuk pemyedaia makanan sekolah percuma kepada pelajar dari golongan B40.
Untuk tujuan itu, berkata Tealive menyasarkan untuk mengumpul RM3.5 juta dalam tempoh setahun bagi membiayai satu juta hidangan kepada pelajar dari golongan berkenaan.
“Usaha murni ini turut menggalakkan rakyat untuk mengurangkan pengambilan gula serta menyumbang kepada kebajikan kanak-kanak yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fuziah berkata Kempen Jom Kosong yang diterajui Kementerian Kesihatan (KKM) itu diwujudkan bagi menyokong Kempen Perangi Gula yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Sept lepas.
“Kempen ini berupaya memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk menjaga kesihatan daripada menghidap penyakit yang berpunca daripada pengambilan gula secara berlebihan yang menjadi punca kepada peningkatan kes penyakit obesiti dalam kalangan rakyat,” katanya.
Menurut Fuziah kempen yang tanpa melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan itu turut mendapat sambutan daripada pemain industri makanan dan minuman serta peruncitan antaranya Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial