AM > BERITA

PGA Pasang Papan Tanda Amaran Tidak Guna Laluan Pangkalan Haram Untuk Ke Golok

20/11/2024 11:06 AM

PASIR MAS, 20 Nov (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) memasang papan tanda amaran di beberapa pangkalan haram bersempadan dengan Malaysia-Thailand khususnya Sungai Golok, bagi memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak merentasi sungai itu menggunakan laluan tidak diwartakan.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata papan tanda mengandungi larangan berkaitan keluar masuk sempadan Malaysia-Thailand melalui pintu tidak diwartakan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 itu, turut dipasang di Kampung Jitong, Pasir Mas dan Kuala Tanjong, Tumpat.

Mengikut seksyen berkenaan, mana-mana individu boleh ditangkap dan didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kita tidak mahu orang awam sewenang-wenangnya menyeberangi Sungai Golok menggunakan pangkalan haram kerana hal ini memberi peluang kepada penjenayah rentas sempadan bebas keluar masuk melakukan jenayah,” katanya kepada ketika dihubungi hari ini.

Beliau sehubungan itu meminta mereka yang mahu ke Pekan Golok supaya menggunakan laluan sah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pekan Rantau Panjang mendapati beberapa anggota PGA memasang papan tanda amaran di tebing Sungai Golok, iaitu di Pangkalan MCA dan Syed Agil.

Pada Isnin, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata polis akan menahan mana-mana rakyat Malaysia yang menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand khususnya di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Dis ini.

Beliau berkata pihaknya akan mula menggunakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 untuk menahan rakyat Malaysia yang pergi ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan