AM > BERITA

COP29: Selatan Global Berhak Terima Lebih Banyak Pendanaan Iklim - Maimunah

20/11/2024 05:03 PM

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

BAKU (Azerbaijan), 20 Nov (Bernama) -- Selatan Global berhak menerima lebih banyak pendanaan iklim kerana mereka merupakan penyumbang paling sedikit kepada pelepasan karbon global, namun menanggung kesan perubahan iklim paling teruk.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata rantau seperti Asia dan Afrika, terkesan secara berlebihan dengan cuaca ekstrem, peningkatan suhu dan cabaran lain yang disebabkan oleh perubahan iklim, walaupun menggunakan tenaga jauh lebih sedikit berbanding negara maju.

“Saya menyeru para pemimpin untuk melihat struktur kewangan pendanaan iklim dalam pembiayaan perubahan iklim COP kerana Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), Persidangan Pihak-Pihak ke-29 (COP29) adalah mengenai membiayai COP dan memperkukuh COP.

“COP28 menumpukan pada pengambilan stok dan COP29 seharusnya memfokuskan pada tindakan dan penambahbaikan,” katanya kepada Bernama di luar COP29 yang sedang berlangsung dari 11 hingga 22 Nov di sini hari ini.

Maimunah, yang merupakan penasihat kepada Presiden COP29 dan juga bekas Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta Pengarah Eksekutif UN-Habitat berkata satu-satunya cara bandar seperti Kuala Lumpur dan negara membangun boleh terus menyumbang kepada matlamat iklim adalah dengan memastikan pembiayaan tahunan yang konsisten, untuk membolehkan mereka memelihara kawasan hijau bandar serta melindungi kawasan hutan sebagai penyerap karbon.

“Jika kita terus berinovasi untuk memastikan bandar kita selamat untuk berjalan kaki dan melabur lebih banyak dalam pengangkutan awam, kita dapat mengurangkan lagi pelepasan karbon dan kebergantungan berlebihan terhadap kenderaan bermotor.

“Untuk menyesuaikan diri dengan kejadian iklim ekstrem, saya juga menyokong lebih banyak penyelesaian berasaskan alam semula jadi termasuk memperluas konsep bandar span dan menjadikan pusat bandar sebagai hab biodiversiti serta mewujudkan BiodiverCities,” katanya.

Maimunah turut menyeru semua pemimpin menghentikan peperangan kerana “Tiada Pembangunan Lestari tanpa Keamanan dan Tiada Keamanan tanpa Pembangunan Lestari”.

Maimunah berkata beliau juga membawa suara rangkaian kerajaan tempatan dan datuk bandar kepada COP29, dan memperkenalkan kepada dunia program berkaitan iklim yang dilaksanakan di peringkat tempatan dan yang menyumbang kepada komitmen iklim kebangsaan.

Beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai contoh mempunyai Pelan Tindakan Iklim 2050 untuk menetapkan asas bagi menangani banjir dan gelombang haba di samping memastikan kebersihan bandar dan bekerjasama dengan komuniti.

“Saya ingin melihat Kuala Lumpur menjadi lebih bersih, hijau, selamat, sihat dan rakyat yang lebih bahagia tinggal di bandar raya itu,” katanya.

Selain itu, Maimunah berkata Malaysia harus menggunakan peluang sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan untuk mempamerkan amalan terbaiknya dalam menangani perubahan iklim di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain, sambil belajar daripada negara anggota ASEAN berhubung mengendalikan cabaran bandar.

“Kita boleh mengambil peluang ini untuk belajar daripada bandar-bandar ASEAN yang lain, meneroka bagaimana mereka menangani cabaran dan melaksanakan penyelesaian bandar yang berkesan. Ini akan membolehkan kita mengguna pakai dan meniru strategi yang berjaya bagi meningkatkan inisiatif pembangunan bandar kita sendiri,” katanya.

Penyertaan Malaysia pada COP29, di Stadium Baku dari 11 hingga 22 Nov, bertujuan untuk mengukuhkan komitmennya terhadap ekonomi hijau seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025, bagi terus memacu penggunaan teknologi yang lebih bersih dan menarik pelaburan lestari bagi menguatkan kepimpinan negara dalam pertumbuhan hijau.

Delegasi Malaysia terdiri daripada lebih 200 orang diketuai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pavilion Malaysia di COP29 bertemakan Shift for Sustainability: Climate Action Now!, diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan