AM > BERITA

Rockshed Kekal Tangani Runtuhan Cerun Di Simpang Pulai - Nanta

20/11/2024 09:53 PM

SIMPANG PULAI, 20 Nov (Bernama) - - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan membina rockshed atau pelindung batu kekal sepanjang 100 meter bagi menangani masalah kegagalan cerun di Jalan Persekutuan FT185 Simpang Pulai - Blue Valley (Cameron Highlands) Seksyen 42.70 di sini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek pembinaan rockshed kekal itu masih berada pada tahap perbincangan yang memerlukan penelitian berhubung reka bentuk dan ciri keselamatan.

Beliau berkata projek berkenaan dianggarkan berkos RM20 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Hari ini saya turun melihat sendiri apa keadaan sekarang selepas kejadian yang berlaku pada 23 Okt lepas, jadi saya tadi diberi taklimat dan puas hati dengan keadaan sekarang kerana kerja-kerja untuk menyelamatkan kawasan ini telah dilakukan dengan baik. 

“Dan saya difahamkan tadi kerja sementara ini akan selesai mungkin sampai hujung bulan Disember, jadi lepas itu kerja (pembinaan rockshed) kekal akan bermula dengan peruntukan yang agak besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau proses pembaikan cerun di tapak tanah runtuh di Jalan Persekutuan FT185 Simpang Pulai- Blue Valley (Cameron Highlands) hari ini.

Sementara itu, Nanta berkata KKR mencadangkan agar laluan itu dibuka semula bermula 25 Nov ini bermula 7 malam hingga 7 pagi sahaja bagi laluan orang awam manakala pada waktu siang diberi laluan bagi proses membaik pulih cerun dan jalan.

“Jadi mohon kerjasama semua pihak bukan sekadar Jabatan Kerja Raya (JKR), KKR dan kerajaan negeri juga…JKR negeri malah ahli-ahli Yang Berhormat setempat dan rakyat. 

“Dan saya difahamkan kawasan ini kawasan tanaman sayur-sayuran, saya mohon kerjasama daripada mereka juga agar kita bersabarlah sebab kerja-kerja ini perlu dibuat sehabis baik kalau tidak dia (jalan) tak selamat dia akan membahayakan nyawa dan itu yang penting bagi kami di kementerian dan juga di JKR,” katanya berhubung dakwaan terdapat rungutan pengusaha sayur berhubung penutupan jalan tersebut.

Pada 8 pagi 23 Okt lepas, JKR Daerah Kinta telah menerima satu laporan kejadian tanah runtuh di jalan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan